Mengapa Jambatan Mostar ini sangat terkenal? Dimanakah lokasinya?

Terkenal Md Wa'iz
Md Wa'iz
Mengapa Jambatan Mostar ini sangat terkenal? Dimanakah lokasinya?
Mengapa Jambatan Mostar ini sangat terkenal? Dimanakah lokasinya? © Sanphotos | Dreamstime.com

Pasti ramai daripada kalangan pembaca yang pernah melihat imej jambatan ini. Namun, tidak ramai yang mengetahui nama dan lokasi jambatan ini berada. Jambatan ini adalah Jambatan Mostar yang terletak di Bosnia dan Herzegovina.

Ada sebab mengapa jambatan ini begitu ikonik dan terkenal di seluruh dunia. Ini kisahnya.

Pereka Jambatan Mostar akan dibunuh kalau jambatan ini runtuh

Jambatan Mostar ini lebih dikenali sebagai Stari Most dalam kalangan penduduk tempatan di Kota Mostar. Stari Most membawa maksud ‘Jambatan Lama’. Jambatan batu ini telah diarahkan pembinaannya oleh Sultan Sulaiman The Magnificient daripada Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1557 Masihi.

Pada awalnya, jambatan ini hanyalah sebuah jambatan gantung yang diperbuat daripada kayu. Jambatan ini telah dibina oleh Mimar Hayruddin yang juga merupakan murid kepada arkitek terkenal Empayar Uthmaniyyah, Mimar Sinan.

Dikatakan setelah beberapa kali jambatan yang dibina runtuh, Sultan Sulaiman bertitah akan menghukum Mimar Hayruddin dengan hukuman bunuh jika jambatan rekaannya juga runtuh.

Bahkan, Mimar Hayruddin juga dikatakan telah menggali lubang kuburnya sendiri saat perancah kayu jambatan ditanggalkan setelah jambatan tersebut siap dibina. Namun, ternyata Jambatan Mostar berdiri kukuh sehingga menjangkau 400 tahun lamanya.

Jambatan Mostar pernah runtuh semasa perang

Pada 9 November 1993, Jambatan Mostar telah runtuh disebabkan peperangan antara Muslim Bosnia dengan etnik Croatia. Stari Most ini telah ditembak oleh kereta kebal milik tentera Croatia semasa perang saudara tersebut.

Kemudian, jambatan sementara telah dibina pada 30 Disember 1993 oleh tentera Sepanyol di bawah misi ketenteraan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jambatan sementara ini telah dinaik taraf sebanyak tiga kali bagi memastikan jambatan sementara tersebut lebih selamat.

Jambatan sementara ini telah digunakan sehinggalah projek pembinaan semula Jambatan Mostar dilaksanakan.

Pembinaan semula jambatan ikonik Kota Mostar

Setelah tamatnya peperangan saudara di Bosnia dan Herzegovina, pelan pembinaan semula jambatan ini dilaksanakan. Pada bulan Oktober 1998, pihak UNESCO telah membuat keputusan agar pembinaan semula Jambatan Mostar ini dilakukan dengan mengikut seni bina asalnya.

Bukan itu sahaja, UNESCO juga telah menyatakan bahawa pembinaannya hendaklah menggunakan tekonologi dan bahan yang sama. Beberapa pihak telah menyumbang dana bagi pembinaan semula jambatan ini termasuklah negara Belanda, Croatia, Turki dan Kerajaan Bosnia sendiri.

Jambatan ini telah dibina kembali melalui dua fasa iaitu:

  • Fasa pertama: menaikkan semula batu-batu jambatan yang telah tenggelam ke dalam sungai untuk digunakan kembali. Tugas ini dilakukan oleh pasukan kejuruteraan tentera Hungary.
  • Fasa kedua: menanggalkan struktur jambatan sementara. Tugas ini dilakukan oleh pasukan kejuruteraan tentera Sepanyol.

Jambatan penyambung komuniti Mostar

Pembinaan jambatan ini juga menggunakan sejenis batu kapur daripada kuari berdekatan bersama-sama batu asal jambatan yang telah dinaikkan semula daripada dasar sungai. Jambatan ini kemudiannya telah dibuka semula kepada orang awam pada tahun 2004.

Jambatan ini bukanlah sekadar jambatan biasa. Ini kerana ia adalah sebuah jambatan yang menghubungkan komuniti Muslim di sebelah timur tebing Sungai Neretva dan komuniti Kristian di sebelah baratnya.

Jambatan ini adalah simbol penyatuan dan keharmonian komuniti yang tinggal dalam bandar tersebut walaupun berbeza agama. Oleh kerana itu, apabila jambatan ini runtuh akibat perang saudara, ia sangat memilukan penduduk bandar tersebut.