Mengapa Masjid Menara Kudus di Jawa seperti candi Hindu?

Asia 27 Dis 2020 Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Mengapa Masjid Menara Kudus di Jawa seperti candi Hindu?
Mengapa Masjid Menara Kudus di Jawa seperti candi Hindu? © Arief Bagus | Dreamstime.com

Jika ada kesempatan berkunjung ke Indonesia, khususnya di Kabupaten Kudus, Jawa Tengah, luangkanlah sedikit masa untuk berkunjung ke Masjid Menara Kudus. Ada sesuatu yang amat menarik mengenai masjid bersejarah di Indonesia ini.

Ini kerana ia adalah binaan simbolik penyebaran Islam di Tanah Jawa.

Sejarah ringkas Masjid Menara Kudus

Nama sebenar masjid ini ialah Masjid Al-Aqsha, namun lebih dikenali dengan nama Masjid Menara Kudus. Ia telah dibina sejak tahun 1549 Masihi dan diiktiraf sebagai salah satu masjid tertua di Indonesia.

Tarikh binaan masjid ini diketahui melalui inkripsi pada batu yang terdapat di mihrab masjid yang ditulis dalam bahasa Arab. Menariknya mengenai masjid ini, seni bina asalnya tidak kelihatan seperti masjid biasa, tetapi lebih mirip kepada binaan candi atau kuil hindu purba.

Antara binaan masjid yang paling jelas mempunyai seni bina candi ialah pintu gerbangnya, pintu masuk serta menara masjid.

Keunikan menara Masjid Kudus

Struktur yang paling menarik perhatian tentunya menara masjid tersebut yang jelas kelihatan seperti sebuah candi.

Namun, ia sebenarnya berfungsi sebagai menara masjid dan mempunyai satu beduk kayu yang diletakkan di puncaknya. Beduk ini berfungsi memanggil orang Islam untuk bersolat setelah masuknya waktu solat pada satu ketika dahulu.

Masjid Menara Kudus diketahui sebagai satu-satunya masjid di Indonesia yang mempunyai menara beduk seperti ini. Manakala masjid-masjid lain meletakkan beduk di beranda masjid sahaja seperti kebiasaannya.

Menara Kudus simbol asimilasi Islam dalam budaya setempat

Mungkin anda tertanya-tanya, mengapa menara masjid tersebut dibina sedemikian rupa? Adakah ia berasal dari sebuah candi Hindu. Untuk pengetahuan anda, sebelum Islam tiba di Kepulauan Jawa, kebanyakan penduduknya pada ketika itu adalah beragama Hindu atau Buddha.

Sunan Kudus yang merupakan salah seorang daripada Wali Sembilan yang terkenal, telah membangunkan Masjid Menara Kudus ini sebagai pusat penyebaran Islam di kawasan tersebut. Bagi menarik lebih ramai penduduk mengenali Islam, menara masjid ini dibina dengan ciri penduduk setempat, seolah-olah binaan sebuah menara candi yang biasa terdapat pada kuil-kuil Hindu.

Ia berfungsi sebagai tarikan bagi penduduk setempat selain melambangkan asimilasi Islam bersama-sama budaya penduduk tempatan. Masjid ini dibina dengan menggunakan bata merah selain atas menara yang dibina berdasarkan seni bina bangunan Jawa.

Dua ciri ini merupakan antara ciri biasa yang boleh didapati dalam seni bina masyarakat Jawa lampau. Menariknya, menara masjid ini dibina tanpa menggunakan sebarang simen untuk melekatkan bata-bata tersebut.

Masjid Menara Kudus lambang kegigihan dakwah Sunan Kudus

Perlu diketahui bahawa individu yang bertanggungjawab membangunkan masjid ini ialah Sunan Kudus. Pembinaan masjid ini melambangkan kegigihan dan kebijaksanaan beliau dalam menyampaikan Islam di Tanah Jawa.

Beliau tidak terus menyampaikan Islam secara terang-terangan. Namun, beliau beradaptasi atau berasimilasi terlebih dahulu dengan kehidupan dan budaya penduduk tempatan yang pada ketika itu amat kuat dengan ajaran Hindu.

Dakwah yang dilakukan oleh Sunan Kudus ini memperlihatkan gabungan budaya Hindu dan juga Buddha, seperti yang dapat dilihat melalui binaan menara Masjid Kudus.