Mengapa membaca beri kebaikan kepada iman 

dreamstime_s_186377612
Mengapa membaca beri kebaikan kepada iman © Sigoisette | Dreamstime.com

Terdapat banyak sebab mengapa ramai suka membaca. Sebagai seorang Muslim, anda harus berusaha untuk menambah pembacaan sebagai agenda harian dan menilai bagaimana ia dapat meningkatkan tahap kerohanian dan mengubah pandangan terhadap kehidupan.

Membaca dapat menenangkan diri dan berasa lebih tenteram. Sekiranya boleh,  luangkan masa anda untuk istirehat sambil membaca. Fikiran akan lebih tenang dan  ia juga dapat membantu memudahkan anda tidur sekiranya menghadapi kesukaran tersebut.

Membaca dan memperbanyak bahan bacaan secukupnya

Anda tidak seharusnya melalaikan diri kerana ia akan membuatkan fikiran menjadi negatif dan akibatnya pencapaian pengetahuan peribadi juga akan menurun. Ini termasuk tidak mahu membaca atau terlalu banyak membaca, contohnya bahan dan sumber ilmu yang tidak sepatutnya dipelajari.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

(Surah al-A’raaf, ayat 31)

Anda juga mesti berusaha memperbanyak bahan bacaan kerana ia membantu meningkatkan perbendaharaan kata dan kemahiran menulis. Hasilnya anda mampu  tampil dengan berkeyakinan dan pada masa yang sama berkemahiran luas.

Peningkatan ini boleh menjadi pendorong untuk menerapkan kemahiran sedia ada kepada bidang lain seperti menulis untuk pelbagai syarikat dan organisasi. Kemahiran baharu ini juga  membantu dalam komunikasi seperti menulis surat dan e-mel, atau anda bercadang untuk mula menulis buku atau blog bagi membantu orang lain mendapatkan bahan rujukan.

Membaca juga membolehkan anda berfikir dengan lebih mendalam mengenai sesuatu konsep atau topik yang berbeza. Ia meningkatkan keinginan kerana merasa terpanggil untuk mendalami ilmu agama dengan lebih lagi dan memperoleh pemahaman yang lebih baik tentangnya serta dapat mengukuhkan hubungan dengan Pencipta.

Menambah ilmu, meningkat iman, mendapat reda Allah SWT

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu.”

(Surah al-Baqarah, ayat 152)

Tujuan anda membaca adalah untuk menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan keimanan, serta mendapat keredaan Allah SWT.  Anda hendaklah berhati-hati agar tidak membaca perkara-perkara yang boleh merosakkan keimanan dan ketakwaan sehingga lupa kepada Allah.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.”

(Surah al-Maaidah, ayat 101)

Terdapat banyak buku yang bukan dalam kategori buku-buku Islam, tetapi buku-buku tersebut  boleh meningkatkan ilmu pengetahuan tentang dunia dan membuat anda sedar akan kewujudan Allah SWT. Sebagai contoh, anda membaca buku-buku tentang alam dan keagungan ciptaan Allah di atas muka bumi ini.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah).”

(Surah Qaaf, ayat 7-8)