Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Mengapa menghafal surah al-Quran?

Al-Quran 12 Jan 2021
Pendapat oleh Hanita Hassan
Mengapa menghafal surah al-Quran?
Mengapa menghafal surah al-Quran? © Galan Abdi Muhammad | Dreamstime.com

Al-Quran merupakan kitab terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Ia adalah kitab suci yang sempurna dan lengkap serta dijamin terpelihara oleh Allah.

Al-Quran diturunkan untuk dibaca, dihafal, dihayati, diamalkan dan disebarkan.

Mengapa menghafal surah al-Quran?

Mungkin ramai kalangan kita yang pernah menghafal surah-surah lazim semasa belajar mengaji al-Quran dahulu.  Namun seiring masa dan kesibukan duniawi, hafalan semakin lemah. Apatah lagi kita hanya menggunakan ayat tertentu sahaja dalam solat.  Natijahnya ada ayat-ayat yang telah dihafal dahulu semakin pudar dalam ingatan.

Meskipun ia adalah suatu hal yang sangat serius dan perlu diambil perhatian, namun tidak semua yang mempunyai kesedaran itu.  Hukum menghafal al-Quran menurut ulama adalah Fardhu Kifayah atau Sunat Ain ke atas muslimin dan muslimat.

Daripada Abdullah r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberi peringatan melalui sabdanya yang bermaksud:

“Celakalah bagi sesiapa yang berkata “aku lupa ayat al-Quran sekian-sekian”, bahkan hendaklah dia berkata “aku telah dilupakan darinya”. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Quran, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas daripada talinya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Syeikh Zakariyya al-Ansari berpendapat haram hukumnya melupakan hafazan al-Quran. Manakala Imam al-Ramli pula berpendapat ia haram jika disebabkan kecuaian dan malas, dan ia merupakan salah satu dosa besar. Imam Ibn Hajar menyebut beberapa riwayat daripada salaf, di mana ada yang menganggapnya sebagai antara dosa-dosa besar.

Menurut Imam al-Syaukani, melupakan hafazan al-Quran merupakan antara dosa terbesar daripada kategori dosa-dosa kecil sekiranya ia tidak disertai dengan niat meremehkan keagungan al-Quran.

Jika diperhatikan pendapat-pendapat ulama ia terarah kepada satu peringatan yg keras terhadap sesiapa yang telah dikurniakan peluang untuk menghafal al-Quran namun dilupakan.

Salah satu nikmat Allah SWT yang amat mulia

Ia adalah seperti pendapat Ibnu Husamuddin al-Rahmani bahawa hafazan al-Quran juga merupakan salah satu nikmat Allah SWT yang amat mulia, maka melupakannya bererti mengkufuri nikmat yang telah diberi.

Ibn Khaldun, seorang ahli falsafah Islam menekankan pendedahan, pengajaran dan penghayatan al-Quran diterapkan sejak kecil sebagai asas kukuh sebelum mempelajari ilmu pengetahuan lain.

Imam Syafe’i, Imam Nawawi dan Ibnu Sina adalah antara yang memulakan pengajian dengan belajar dan menghafaz al-Quran dahulu, baharu berpindah kepada ilmu-ilmu lain.

Cendekiawan muslim Ibnu Sina yang digelar Bapa Perubatan Moden, mempelajari al-Quran semenjak berusia lima tahun.  Dia menghafaznya ketika berumur 10 tahun. Kemudian baharulah mempelajari ilmu fekah, tasawuf, ilmu hisab, geometri, falsafah, sains dan astronomi. Semasa berusia 16 tahun, beliau telah menguasai ilmu perubatan.

Justeru, marilah kita jadikan diri dan ahli keluarga kita salah seorang daripada penghafal al-Quran. Pada mereka yang telah menghafal atau yang sedang dalam proses menghafal teruskan usaha. Berakhlaklah sebagai ahli al-Quran agar ia selari dengan keagungan al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para sahabat bertanya, “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Rasul menjawab, “Para ahli al-Quran. Merekalah keluarga Allah dan hamba pilihan-Nya.”

(Hadis riwayat Ahmad)