Mengapa orang lain tidak boleh, kita boleh?

Budaya Tari Basir 11-Okt-2020
dreamstime_s_195644522
Mengapa orang lain tidak boleh, kita boleh? © Airdone | Dreamstime.com

Selalunya kita mendengar, sama ada dicanangkan oleh pakar motivasi atau melihatnya di laman sosial, mengenai satu kata-kata petikan atau quote, iaitu:

“Jika orang lain boleh, maka kita juga boleh.”

Petikan ungkapan ini sebenarnya merujuk kepada sesuatu yang pasti boleh kita lakukan, walaupun kita mengalami kesukaran pada awalnya, kerana sudah ramai orang lain yang sudah berjaya melakukannya. Secara tidak langsung, quote ini memberi harapan kepada kita bahawa sebenarnya kita masih boleh menjayakan perkara tersebut, walaupun kesukaran demi kesukaran terpaksa kita hadapi, sehingga kita merasakan bahawa menjayakannya ialah sangat mustahil.

Walaupun bagaimanapun, pernahkah kita mendengar petikan ungkapan yang diterbalikkan ini, iaitu:

“Orang lain tak boleh, kita boleh?”

Apa maksud petikan ungkapan di atas?

Pernahkah kita mengalami satu situasi, sebagai contoh ketika di jalan raya, kita memandu di belakang sebuah kereta, dan kereta tersebut dipandu dengan perlahan? Sudah tentu kita akan berasa sangat marah, lagi-lagi sekiranya kita mengejar masa, lalu akhirnya kita membunyikan hon. Tidak ketinggalan pasti ada kata-kata yang kurang enak akan terbit daripada mulut kita, sambil memberi pandangan yang tajam kepada pemandu kereta tersebut ketika kita melepasinya.

Namun, apabila tiba pula masa kita yang memandu kereta dengan perlahan, sehinggakan ada sebuah kereta di belakang kita yang membunyikan hon sebagai isyarat untuk kita melajukan kereta, kita pula yang marah sehingga menyatakan ‘mahu ke mana laju-laju?’ atau ‘tak boleh ke nak sabar?’

Pasti kita pernah berada di tempat tersebut, bukan?

Apabila kita berada di tempat sebagai pemandu di belakang, kita berasa marah terhadap kereta di depan yang perlahan. Namun apabila kita pula di depan dan kereta yang kita pandu itu perlahan, kita pula marahkan orang di belakang kita.

Inilah yang dimaksudkan dengan quote di atas, apabila kita menjadi mangsa, kita merasakan kita yang dizalimi. Namun apabila kita menzalimi, kita merasakan bahawa perkara tersebut tidak salah. Malah, kita pula yang merasakan bahawa kita yang dizalimi sebenarnya.

Apakah yang menyebabkan perkara tersebut?

Jawapannya mudah, ego dan sifat tidak memahami. Munculnya keegoan apabila kitalah yang merasakan kita paling betul dan baik. Kitalah sahaja yang dizalimi dan bukannya menzalimi. Malah, kita menzalimi dengan sebab yang kita ciptakan dan rasakan ia patut.

Kita tidak memahami apakah yang sebenarnya berlaku. Kita tidak cuba untuk meletakkan diri kita di dalam tempat orang lain. Apabila kita yang dizalimi, kita memarahi orang yang tidak memahami keadaan kita. Namun, kita tidak cuba untuk meletakkan diri kita di tempat orang lain dan memahami keadaan mereka, lantas menzalimi mereka.

Apakah cara untuk mengatasi perbuatan ini?

Jawapannya mudah, namun sukar untuk melaksanakannya – iaitu cuba letakkan diri kita di tempat orang lain. Cuba sedaya upaya untuk mengenepikan ego kita, dan cuba memahami keadaan orang lain.

Apabila kita memandu di belakang kereta yang perlahan, fikirkan kemungkinan kereta tersebut sedang kehabisan minyak dan pemandunya cuba menjimatkan minyak. Apabila ada kereta di belakang, lajukan sedikit kereta kita kerana kemungkinan pemandu tersebut mengejar masa.

Sekiranya kita mengamalkan amalan baik ini, percayalah kita akan merasa begitu tenang. Walaupun tak semua boleh amalkannya, maka di sini quote terbalik tadi dipakai ke atas kita. Orang lain tak boleh amalkannya, kita pasti boleh!