Mengapa Pendidikan Seks Perlu Di Kalangan Kanak-Kanak?

Golongan remaja dan kanak-kanak kini terdedah kepada gejala tidak bermoral. Terkini di kalangan remaja ialah melayari laman-laman sesawang pornografi di mana mereka berkongsi gambar-gambar ‘terlampau’ untuk ditonton oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

Malah ada yang lebih berani berkongsi video ketika mereka melakukan hubungan seks dengan pasangan yang dipilih secara rambang.

Realitinya, remaja ini sanggup melakukan perkara-perkara tidak bermoral itu hanya dengan dijanjikan duit untuk perbelanjaan sekolah, tiket wayang atau barangan yang mereka kehendaki.

Jadi di mana silapnya sehingga perkara ini terjadi? Adakah pendidikan seks perlu di kalangan kanak-kanak bagi membanteras gejala sosial yang cukup menakutkan ini?

Dalam satu program temubual di salah sebuah stesen TV popular, Pakar Perunding Obstetriks Dan Ginekologi (O&G), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr. Harlina Halizah Haji Siraj, menjelaskan bahawa pendidikan seks adalah pendidikan seumur hidup.

Jadi setiap peringkat umur perlu didedahkan dengan perkara ini kerana info yang seks yang diperlukan  bukan mengikut umur seseorang.

“Pendidikan seks bukan sahaja dilihat pada segi biologi atau fizikal sahaja tetapi sebenarnya ada lima dimensi.  Dimensi pertama adalah biologi dan fizikal, kedua dimensi kognitif iaitu akal dan fikiran, dimensi ketiga adalah perasaan, keempat pula dimensi sosial dan yang akhir sekali dimensi spiritual dan kerohanian.

Tetapi masyarakat kita sering melihat kepada biologi dan fizikal sahaja. Ibu bapa sepatutnya mendedahkan pendidikan seks kepada anak-anak apabila mereka mula bertanya, ” ulas Dr. Halina.

Dalam masa yang sama, Dr. Halina juga mencadangkan agar kanak-kanak dan remaja perlu diajar di rumah terlebih dahulu sebelum dipertanggungjawab kepada cikgu-cikgu di sekolah.

Ibu bapa perlu bijak mencari maklumat dan menyalurkan maklumat tentang pendidikan seks kepada anak-anak. Sebabnya jika persoalan mereka tidak terjawab, mereka akan cenderung untuk mencari maklumat di internet.

Selain itu jangan membezakan antara anak perempuan dan anak lelaki. Sama ada anak lelaki atau perempuan, ibu bapa perlu bagi pendedahan yang sepatutnya untuk mereka.

Pendidikan seks harus jadi tanggungjawab semua dan ia bukan satu topik yang pantang untuk diperkatakan.

Persoalannya, adakah pendidikan seks ini sesuai dengan ajaran Islam? Ini kerana ramai ibu bapa enggan berbincang  tentang isu seksualiti dengan anak-anak kerana ramai yang beranggapan ia kotor dan jijik untuk dibincangkan secara terbuka.

Laporan wartawan Latifah Ariffin di lawan sesawang www.bharian.com.my menjelaskan Islam sebenarnya tidak pernah mendiskriminasi atau mengharamkan pendidikan seksualiti. Ini kerana agama ini mengiktiraf seks sebagai fitrah dalam kehidupan manusia.

Bagaimanapun, pendekatan yang dianjurkan Islam adalah berbeza dengan pendidikan seksualiti di Barat. Ini kerana Islam menganjurkan pendekatan lebih menyeluruh dengan menekankan kewajipan menjaga kehormatan diri, adab dan perilaku yang bermula awal usia supaya peka terhadap batasan seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan dan memelihara kehormatan. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa mereka kerjakan.” (An-Nur: 30)

Ini bermakna setiap Muslim yang mengakui beriman kepada Allah SWT diperintahkan menjaga setiap anugerah pancaindera hingga kepada melindungi maruah diri daripada dicemari perkara terkutuk, sekali gus bertentangan dengan ajaran agama.