Mengapa Rasulullah SAW menggigil ketika menerima wahyu pertama? Ini kisahnya

Islam untuk Pemula Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Mengapa Rasulullah SAW menggigil ketika menerima wahyu pertama? Ini kisahnya
Mengapa Rasulullah SAW menggigil ketika menerima wahyu pertama? Ini kisahnya © Nurlan Mammadzada | Dreamstime.com

Tahukah anda, wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah Taala kepada Rasulullah SAW berlaku dalam bulan Ramadan? Ini kisah lanjut mengenai peristiwa penurunan wahyu pertama tersebut.

Secara umumnya, wahyu bermakna kata-kata atau satu perintah daripada Allah SWT yang disampaikan kepada rasul-Nya. Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama yang disampaikan oleh Maaikat Jibril sebagai perantara.

Wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW ialah ayat 1 hingga 5 daripada Surah Al-’Alaq. 

Kronologi penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW

Pada satu ketika, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bersendirian dan bermunajat di Gua Hira’ yang terletak di Jabal Nur. Gua Hira’ terletak kira-kira 600 meter tingginya daripada kaki bukit Jabal Nur dan kedudukannya agak tersembunyi.

Beliau menjauhkan dirinya daripada kaum Arab Jahiliyyah yang masih belum beriman dan sering melakukan dosa-dosa besar terhadap Allah Taala. Pada ketika inilah, Malaikat Jibril a.s telah hadir berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menyuruh Baginda untuk membaca lima ayat pertama daripada Surah Al-’Alaq.

Makna daripada lima ayat Surah Al-’Alaq itu adalah seperti berikut:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ketika Malaikat Jibril menyuruh Baginda membaca ayat-ayat ini, Rasulullah SAW menyatakan bahawa Baginda tidak pandai untuk membaca.

Kemudian Malaikat Jibril menyuruh Baginda untuk membaca lagi, dan Baginda menjawabnya dengan jawapan yang sama. Malaikat Jibril menyuruh Baginda membaca ayat-ayat tersebut buat kali ketiga.

Malaikat Jibril telah memeluk Rasulullah SAW berkali-kali dengan tujuan memaksa Baginda untuk membaca sehingga Baginda menjadi gelisah dan ketakutan. Peristiwa penurunan wahyu pertama ini berlaku pada 17 Ramadan, tahun ke-41 Hijrah.

Bertemu dengan Waraqah bin Naufal

Selepas dipeluk Malaikat Jibril dan menjadikan Baginda gelisah, beliau terus pulang ke rumah Baginda dan menceritakan hal tersebut kepada isteri Baginda, Siti Khadijah r.a. Pada ketika itu, Baginda berada dalam keadaan yang menggigil kerana ketakutan dan telah meminta Siti Khadijah untuk menyelimuti Baginda.

Setelah itu, Siti Khadijah r.a membawa Rasulullah SAW untuk bertemu dengan Waraqah bin Naufal r.a yang merupakan sepupu kepada Siti Khadijah daripada jurai sebelah bapa. Ketika zaman jahiliyyah, Waraqah adalah seorang yang beragama Nasrani dan menulis Kitab Injil dalam bahasa Ibrani.

Nabi Muhammad SAW telah menceritakan segala yang telah dialaminya di Gua Hira’ kepada Waraqah bin Naufal r.a. Setelah itu Waraqah pun berkata, itulah Jibril a.s yang pernah diutus Allah SWT kepada Nabi Musa a.s. Waraqah turut menyatakan bahawa dia berharap di masih hidup ketika Rasulullah diusir oleh penduduk Mekah.

Rasulullah SAW yang terkejut dengan pernyataan tersebut terus bertanya mengapa beliau akan diusir. Waraqah r.a menjawab, setiap orang yang membawa seperti apa yang dibawa oleh Baginda, pasti akan dimusuhi oleh ramai orang. Oleh itu, Waraqah berharap agar dia dapat menolong Baginda saat tiba masa di mana Baginda Rasulullah diusir kelak.

Namun, Waraqah meninggal dunia tidak lama selepas wahyu pertama ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Siti Khadijah r.a, Waraqah bin Naufal r.a serta Saidina Abu Bakar r.a adalah antara individu pertama yang mengakui kenabian Baginda selepas turunnya wahyu pertama ini.