Mengapa sihir diharamkan dalam Islam

Kepercayaan Iman Terimo 24-Jun-2020
Sihir adalah haram © Nomadsoul1 | Dreamstime.com

Ilmu Hitam, atau lebih dikenali sebagai sihir dalam Al-Quran merupakan satu perbuatan yang amat dikutuk dalam Islam. Semua bentuk sihir diharamkan memandangkan asas kegiatan ini melanggar prinsip-prinsip Islam. Sebagai Muslim, kita percaya hanya Allah SWT yang mempunyai kekuasaan untuk merubah takdir dan membentuk kehidupan kita. Sihir menghapuskan konsep ini dengan memberi kuasa kepada manusia untuk menentukan takdirnya. Ini bererti dia  menduakan Allah.

Rasullulah SAW bersabda:”Sesungguhnya jampi serapah, tangkal azimat serta sihir ilmu pengasih adalah syirik.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sihir melanggar aturan dunia. Jelasnya sesiapa yang mengamalkan sihir secara terang-terang telah melawan ketentuan yang ditetapkan Allah SWT. Ini sama seperti syirik. Kita sering diingatkan bahawa Allah sedia mengampunkan apa jua dosa hambanya kecuali syirik terutama sekali bila seseorang itu berada di ambang maut. Setiap Muslim perlu sedar dia tidak berupaya merubah apa yang telah Allah peruntukkan untuknya.

Firman Allah SWT: “(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia-lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah Faatir 35, ayat 15)

Bagaimanakah sihir dilakukan? Pengamal ilmu hitam menggunakan kuasa dari jin atau syaitan untuk kegiatan haram ini. Mereka saling bertukar matlamat, seperti membuat perjanjian dengan jin untuk mendapat bantuan atau ilmu yang dianggap haram.

Menurut Saidatina Aisha r.a., bila Rasullulah SAW ditanya mengenai ahli sihir yang kononnya mempunyai pengetahuan tentang masa depan, Rasullulah menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang tidak mempunyai arti (orang-orang yang hina).” Rasullualh di tanya lagi, “Sesungguhnya  para dukun tersebut terkadang menyampaikan kepada kami suatu (berita) yang (kemudian ternyata) benar.”

Maka Rasullulah SAW menjawab, “Kalimat (berita) yang benar itu adalah yang dicuri (dari berita langit) oleh jin (syaitan), lalu dimasukkan ke telinga teman dekatnya (dukun dan tukang sihir), yang kemudian mereka mencampuradukkan berita tersebut dengan seratus kedustaan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam dunia moden hari ini, tidak ramai yang mengamalkan ilmu sihir jika dibandingkan dengan mereka yang mendakwa tahu cara-caranya. Sekitar 90% dakwaan ini sama sekali tidak benar kerana ia mengambil kesempatan kejahilan awam terhadap ilmu sihir semata-mata untuk mendapat keuntungan kewangan.

Malangnya, masih ramai yang  masih terjerumus ke kancah ini. Mereka mengeluarkan wang yang banyak hanya semata-mata untuk mencapai cita-cita mereka. Sering kali, mereka yang kurang arif, keliru dengan ilmu sihir dan ilusi. Mereka sebenarnya telah diperdayakan oleh mereka yang pakar menipu dalam bidang ini.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran: “Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).” (Surah Al-A’raaf 7, ayat 116)

Bagaimana pula kita memelihara diri dari terkena sihir, atau keluar dari mantera ini? Dua surah terakhir dalam Al-Quran, iaitu surah Al-Falaq dan Surah An-Nas telah diturunkan khusus untuk menghindari dari terkena sihir.

Perlu juga diingatkan kerana sifat semula jadi manusia yang sering bersangka buruk, mereka ada kalanya merasa seperti disihir. Umumnya ini tidak benar, dan jika perlu, lebih baik dia berjumpa doktor atau pakar psikiatri.

Yang paling utama, teguhkan iman kepada Allah SWT dan kepada Rasullulah SAW. Lazimkan membaca Al-Quran dan ini akan melindungi diri dari terkena sihir.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!