Mengelak rasuah dan iman yang kukuh

Ekonomi 03 Jan 2021 Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Mengelak rasuah dan iman yang kukuh
Mengelak rasuah dan iman yang kukuh © Blanscape | Dreamstime.com

Kitab al-Quran dan al-Sunnah sudah menukilkan tentang kisah rasuah sejak beribu tahun lalu.  Ia bukan amalan baharu dalam masyarakat.  Selagi nafsu bermaharajalela, selagi itu manusia tidak pernah gusar malah menghalalkan apa yang Allah SWT haramkan.

Wang dan harta kekayaan membutakan mata.  Sedangkan wang dan harta tidak dibawa bersama setelah nyawa tercabut daripada badan. Hanya sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan doa dari anak yang soleh sahaja dibawa bersama sebagai bekalan.

Mengelak rasuah dan iman yang kukuh

Kaum Yahudi telah dicela oleh Allah SWT kerana biasa mengamalkan rasuah.  Larangan rasuah ini ditegaskan dalam al-Quran melalui surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud:

“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).”

(Surah al-Maidah, ayat 42)

Pembanterasan rasuah sudah dilakukan secara besar-besaran oleh pemerintah bukan sahaja di Malaysia tetapi di semua negara di dunia.  Pelbagai akta dikeluarkan untuk menghukum pesalah, namun ia masih berleluasa.

Apakah yang membuatkan hati kita keras untuk tidak melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama.  Jawapannya ialah kerana lemahnya aqidah.  Tidak mungkin orang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW akan melakukan amalan keji ini.

Kita kenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya, gerun dengan kekuasaan-Nya, mengimani kalam-Nya. Kita boleh membentuk peribadi yang baik dalam diri.  Apabila setiap individu dapat dibentuk, maka masyarakat akan bertambah harmoni dan negara dapat diurus tadbir dengan cemerlang.

Iman yang kukuh dalam diri akan menentukan jalan hidup kita. Iman juga akan membawa kita sama ada ke syurga atau neraka. Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Setelah penghuni syurga masuk ke syurga dan penghuni neraka masuk ke neraka, Allah berfirman:  “Keluarkan dari neraka orang-orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi iman.”  Maka mereka pun dikeluarkan dari neraka.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasuah dan keyakinan dengan janji-janji Allah SWT

Rasuah berasal daripada bahasa Arab iaitu al-Risywah. Dalam bahasa Melayu bermaksud ‘pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap’. (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Manakala menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. 

Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun. Kebergantungan dan keyakinan dengan janji-janji Allah SWT akan mengubah minda kita supaya tidak menerima atau memberi suapan.

Begitulah yang berlaku kepada para sahabat Nabi Muhammad SAW yang sanggup mati kerana Allah SWT. Kisah Umair bin al-Humam yang mendengar sabda Baginda yang maksudnya:

“Bangunlah kalian menuju syurga Allah yang luasnya seperti langit dan bumi.”  Terdengar ucapan itu, Umair bertanya:  “Benarkah keluasannya seperti langit dan bumi?”  Nabi bersabda:  “Ya.”  Beliau lantas menyebut:  “Bakhin bakhin (sebutan yang menggambarkan rasa pengagungan).”  Nabi bertanya:  “Apakah yang menyebabkan engkau berkata sedemikian?”  Umair menjawab:  “Kerana aku ingin menjadi ahlinya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Begitulah keyakinan para sahabat dengan janji Allah SWT. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah.