Mengelakkan perasaan marah

Sahsiah Hafiz Firdaus 11-Mei-2020
Jaga tabiat dalam berkata-kata © Zurijeta | Dreamstime.com

Mengenai perasaan ini, kita harus berusaha sebaik mungkin agar tidak marah. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Baginda menasihati seorang lelaki yang datang memohon nasihat dan Baginda mengarahkan agar jangan berasa marah. Lelaki tersebut kemudian terus meminta nasihat lagi, dan setiap kali jawapan Baginda ialah janganlah berasa marah.

Hadis ini menunjukkan pentingnya menghindari emosi kemarahan. Memang kemarahan adalah emosi semula jadi dan kadang-kadang sukar dielakkan. Tapi jangan kerana ia susah untuk ditahan, maka kita perlu berhenti cuba menahan marah. Allah SWT melihat segala apa yang kita hadapi, dan ganjaran akan diberi atas usaha kita menurut perintah-Nya.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” [Al-Quran, surah Al-Imraan (3), ayat 133-134]

Ayat ini membuktikan, ganjaran pahala yang besar akan dikurniakan oleh Allah SWT atas usaha seseorang yang menahan kemarahannya. Ganjaran taman syurgawi seluas langit dan bumi menunggu si penahan marah. Mereka yang menahan diri dari kemarahan juga digambarkan sebagai orang yang bertakwa oleh Yang Maha Esa.

Apabila kita berdoa kepada Allah SWT memohon agar kita menjadi lebih sabar dalam situasi yang boleh membuat kita marah, kita sebenarnya menjadi lebih kuat – orang yang kuat adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika dia marah. Dan juga sentiasa ingat untuk memohon perlindungan dengan Allah di saat marah, agar syaitan tidak mempengaruhi seseorang, dan hasilnya akan menghilangkan kemarahan dalam diri.

Kemarahan mungkin berlaku bila kita berdebat dengan seseorang atau bila seseorang mengganggu kita. Dalam situasi sebegini, pastinya kita cenderung untuk rasa marah. Maka, agama kita mengesyorkan agar seseorang berdiam diri untuk membantu kita menghindari perasaan buruk ini. Jadi, ingatlah bila-bila anda rasa marah, diamkanlah diri ketika itu buat sementara waktu.

“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” [Al-Quran, surah Ash-Shura (42), ayat 40]

Menerusi firman Allah SWT seperti di atas, Islam turut mengajar kita kepentingan mengampuni seseorang. Ini adalah satu pilihan yang boleh kita buat ketika sedang marah, dan perangai sebegini amat bermanfaat bagi kita. Jelas, perbuatan memaafkan orang lain dan berdamai adalah perbuatan yang akan dibalas dengan sebaiknya oleh Allah.