Mengenal Abdurrahman bin Auf r.a  

Sejarah Hanita Hassan
Hanita Hassan
Mengenal Abdurrahman bin Auf r.a  
Mengenal Abdurrahman bin Auf r.a © Auguste Rukaite | Dreamstime.com

Abdurrahman bin Auf r.a adalah salah seorang daripada 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga. Beliau juga antara individu terawal memeluk Islam dan termasuk enam ahli syura lantikan Saidina Umar al-Khattab r.a dalam menentukan khalifah sesudahnya.

Abdurrahman r.a bijak mengimbangi kehendak duniawi dan ukhrawi, gigih dan tabah mencipta kejayaan.  Sentiasa mengambil berat akan cabaran yang terpaksa dihadapi umat Islam. Sanggup membelanjakan harta ke jalan Allah SWT dan mensyukuri dengan nikmat yang diperolehinya.

Mengenal Abdurrahman bin Auf r.a  

Lahir 10 tahun selepas Tahun Gajah, gelaran beliau semasa jahiliah adalah Abdu Amru.  Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW mengelarnya Abdurrahman. Beliau adalah antara usahawan yang kaya di Mekah dan menyokong setiap perjuangan serta dakwah Islam yang dibawa oleh Nabi.

Seperti sahabat Nabi Muhmamad SAW yang lain, Abdurrahman r.a juga menghadapi cabaran dan tentangan selepas memeluk Islam daripada keluarga dan masyarakat setempat.

Bagi menyelamatkan imannya, Abdurrahman r.a terpaksa melarikan diri dan berhijrah ke Habsyah kemudian ke Madinah sehelai sepinggang. Beliau telah dipersaudarakan dengan Saad bin Rabiq di Madinah bagi mengukuh silaturahim dengan golongan Ansar.

Saad memiliki dua kebun kurma dan dua isteri.  Beliau sanggup menyerahkan kebunnya untuk modal berniaga Abdurrahman dan menceraikan salah seorang isterinya untuk Abdurrahman membina kehidupan baharu.

Namun, Abdurrahman r.a menolak dan meminta Saad menunjukkan di mana letaknya pasar.  Sejak itu, beliau mula berniaga dan meraih keuntungan.  Beliau akan bersedekah dahulu apabila mendapat keuntungan daripada perniagaannya sebelum membelanjakannya.

Abdurrahman r.a telah terlibat dalam banyak peperangan bersama Rasulullah SAW semasa Perang Badar, Perang Uhud dan banyak lagi peperangan lain. Semasa Perang Uhud, tubuhnya terdapat 20 luka yang sangat dalam sehingga boleh dimasukkan tangan seseorang. Namun, peranan jihad Abdurrahman bin Auf lebih banyak dari sudut harta.

Peniaga yang amat berjaya, bersedekah harta di jalan Allah SWT

Suatu ketika sewaktu Rasulullah SAW melancarkan derma untuk mempersiapkan angkatan tentera untuk satu misi. Abdurrahman pulang ke rumah dan kembali semula   berjumpa Rasulullah dan menyerahkan wang sebanyak 4,000 keping wang.  Sebanyak 2,000 keping diserahkan ke jalan Allah SWT dan 2,000 keping lagi untuk keluarganya.

Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud:

“Semoga Allah memberkatimu di dalam harta yang engkau infaq dan semoga Allah memberkatimu di dalam harta yang engkau pegang.”

Doa Baginda Rasulullah SAW sangat mustajab.  Perniagaannya semakin membesar.  Satu hari Abdurrahman r.a membawa pulang barangan dagangan berupa 700 ekor binatang tunggangan.  Setiap satunya memikul pelbagai jenis makanan dan barangan keperluan.  Bergegar bumi Madinah.

Apabila Saidatina Aisyah r.a mendapat tahu mengenai rombongan Abdurrahman, beliau berdoa:

“Semoga Allah memberkati apa yang Allah berikan padanya di dunia dan sesungguhnya ganjaran di akhirat lebih besar dan berharga.”

Semasa Perang Tabuk, Abdurrahman turut membantu dari segi harta untuk persediaan tentera dan peralatan perang memerangi tentera Rom.  Ketika penduduk Madinah menghadapi kemarau dan kekurangan bekalan makanan, beliau juga menginfakkan hartanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.”

(Surah at-Taubah, ayat 111)

Peribadi Abdurrahman r.a boleh kita contohi dalam kehidupan.  Kita memberi kepada mereka yang memerlukan dan Allah SWT akan gantikan dengan yang lebih baik lagi.  Semoga bermanfaat.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.