Mengenali cara berpakaian Rasulullah SAW

Pakaian dari jenis kapas © Sophiejames | Dreamstime.com

Islam mengajar umatnya berpakaian dengan cara yang sopan dan lagi bersederhana. Etika pemakaian yang terbaik telah dizahirkan berdasarkan cara berpakaian Nabi Muhammad SAW. Meskipun beliau adalah manusia yang paling agung, pakaian Baginda tidak berbeza daripada orang lain.

Rasulullah SAW tidak mempunyai banyak pakaian dan kebanyakan yang dipakai adalah hadiah daripada orang lain, namun tiada satu pun yang menunjukkan kemewahan. Baginda tidak suka dilihat bermewah-mewah serta menunjukkan kesombongan melalui pakaian.

Sebagaimana kita, Nabi Muhammad SAW juga mempunyai pakaian yang disukainya. Baginda gemar memakai gamis iaitu baju seumpama kurta yang berlengan panjang sampai ke pergelangan tangan dan berkolar. Ukuran panjangnya pula sampai ke betis. Bagi seorang lelaki, apabila memakai apa sahaja pakaian yang tidak melebihi kedua buku lalinya, ia merupakan sunnah yang mulia.

Asma binti Yazid meriwayatkan: “(Panjang) lengan baju Rasulullah s.a.w hingga pergelangan lengan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Nasa’i & Abu Dawud)

Hadis yang diriwayat oleh Ummu Salamah r.a menyebutkan: “Antara pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah SAW adalah kurta iaitu jenis baju labuh.” (HR Abu Dawud)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga memiliki baju burdah Yamani yang panjangnya enam hasta dan lebar tiga hasta dan satu jengkal. Terdapat riwayat dari Anas bin Malik juga mengatakan: “Pakaian yang paling disukai Rasulullah SAW ialah kain Hibarah.” Kain Hibarah ialah kain jenis kapas berasal dari Yaman.

Samurah bin Jundab meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian mengenakan pakaian berwarna putih. Sesungguhnya pakaian berwarna putih itu lebih suci dan lebih baik bagi kalian. Dan hendaklah kalian mengkafankan orang-orang yang meninggal dunia dengan kain kafan berwarna putih.” (HR oleh at-Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah, Abu Dawud, Baihaqi & Hakim)

Nabi Muhammad SAW gemar memakai apa sahaja pakaian yang mudah didapati, malah sangat menghargainya dan kerap memakainya semampu yang boleh. Jauh pula bezanya dengan diri kita, terlalu banyak pakaian dalam almari hingga ada yang tidak terpakai langsung.

Apatah lagi dengan trend sekarang, suka dan kerap membeli melalui talian. Pantang mendengar promosi, ada sahaja yang ingin dibeli. Beringat-ingatlah,  supaya kita tidak menjadi orang yang membazir dan bermewah-mewah serta melampaui batas dalam berpakaian.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, sebaiknya kita menghargai pakaian yang kita miliki dan elakkan perasaan terlalu ghairah mengumpul koleksi persalinan baharu. Namun begitu, sikap mahu memakai jenis-jenis pakaian yang pernah dipakai oleh Rasulullah adalah sifat yang terpuji sebagai tanda cinta dan kasih kepada Baginda dan semoga ia ternilai sebagai suatu ibadah di sisi-Nya.