Mengenali isteri-isteri Rasulullah SAW

Kepercayaan Abi Aasim 05-Mei-2020
Jannatul Baqi, perkuburan kebanyakan isteri Baginda Nabi © Rasoul Ali | Dreamstime.com

Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW merupakan wanita-wanita yang mempunyai kelebihan dan kedudukan yang diberikan oleh Allah SWT melebihi wanita-wanita yang lain. Isteri-isteri Baginda telah digelar sebagi Ummul Mukminin, yang bererti ‘Ibu-ibu kepada orang-orang beriman.’

Perkahwinan-perkahwinan Nabi SAW adalah berhikmah dan wajar difahami, yang dipengaruhi oleh faktor-faktor sosial, politik dan transcendental atau ilahiah. Pada ketika itu, syariat masih belum menghadkan perkahwinan kepada empat orang isteri dalam satu masa, di samping berkahwin ramai juga merupakan kelaziman bagi penduduk di tanah Arab.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 32; “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa.”

Khadijah binti Khuwailid r.a. merupakan isteri pertama Baginda. Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Khadijah sebelum Baginda menjadi Rasul, ketika berumur 25 tahun manakala Khadijah berumur 40 tahun pada waktu mereka berkahwin.

Khadijah r.a. adalah seorang isteri yang sangat setia dan merupakan wanita pertama yang memeluk Islam. Khadijah telah banyak menggunakan harta kekayaannya bagi membantu Rasulullah SAW menyebarkan Islam. Perkahwinan ini telah dikurniakan enam orang zuriat. Sewaktu perkahwinan Baginda bersama Khadijah, Baginda tidak pernah menikahi wanita lain. Isteri kedua Baginda ialah Saudah binti Zam’ah r.a.

Isteri ketiga Baginda ialah Aishah binti Abu Bakar r.a. Nabi SAW berkahwin dengan Aishah untuk memgeratkan lagi hubungan dengan sahabat Baginda, Abu Bakar As-Siddiq r.a. Aishah terkenal sebagai seorang yang pintar dan mempunyai daya ingatan yang kuat. Dikatakan Aishah telah berjaya meriwayatkan lebih daripada 200 hadis Rasulullah.

Isteri Baginda yang keempat ialah Hafsah binti Umar r.a. Hafsah ialah anak kepada sahabat Nabi iaitu Umar Al-Khattab r.a. Nabi berkahwin dengan Hafsah setelah suaminya syahid di medan perang bagi memuliakannya.

Isteri Baginda yang kelima ialah Zainab binti Khuzaimah r.a. Beliau digelar Ummu Al-Masakin kerana kasih dan sayangnya terhadap golongan fakir miskin. Isteri keenam Baginda ialah Ummu Salamah binti Abu Umayyah r.a.

Isteri ketujuh Baginda ialah Juwairiyah binti Al-Harith r.a. Beliau merupakan tawanan perang daripada kaum Bani Mustaliq. Setelah beliau dibebaskan dan berkahwin dengan Rasulullah, kaumnya juga turut memeluk Islam dan dibebaskan sebagai tawanan perang.

Isteri kelapan Baginda ialah Zainab binti Jahsy r.a. Perkahwinan ini adalah perintah langsung dari Allah SWT. Isteri kesembilan Baginda ialah Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufiyan r.a., diikuti isteri kesepuluh, Safiyyah binti Huyai r.a. dan yang kesebelas, Maimunah binti Al-Harith r.a.

Sepanjang perkahwinan Rasulullah SAW, hanya Aishah r.a. sahaja isterinya yang belum pernah berkahwin. Perkahwinan Rasulullah adalah bertujuan untuk memberikan penghormatan dan memuliakan isteri-isteri Baginda. Semoga kita dapat mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam mendidik isteri-isteri Baginda.