Menggantikan solat fardu yang tertinggal

Sahsiah Chan Abdullah 20-Mei-2020
Qada solat sebaik mungkin © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Ibadah solat adalah satu kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas umat Islam. Kegagalan melakukan solat di dalam waktu yang ditetapkan boleh menyebabkan pelakunya berdosa, sekiranya tiada halangan atau keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Di sinilah perkataan Qada memainkan peranan. Qada bermaksud  menggantikan atau mencukupkan perkara fardu yang ketinggalan. Umat Islam yang sengaja meninggalkan solat fardu tanpa keuzuran yang dibenarkan dianggap telah melakukan dosa dan wajib untuk menggantikannya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ma’un, ayat empat hingga lima: “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.”

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sekiranya seseorang itu tertidur atau lalai sehingga lupa solat, hendaklah dia bersolat apabila ingat kembali. Kerana Allah berfirman, ‘dirikanlah solat untuk mengingati-Ku’.“ (Hadis riwayat Muslim)

Namun mengikut Mazhab Syafie, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat kerana lupa, tidur dan lalai yang disebabkan oleh perkara yang melekakan atau sia-sia seperti berhibur dan bermain berlebih-lebihan, maka ia tidak dianggap sebagai keuzuran yang dimaafkan.

Ada beberapa golongan yang digugurkan kewajipan solat kepada mereka. Antaranya ialah wanita yang datang haid dan nifas. Para ulama secara sepakat bersetuju bahawa wanita yang datang haid dan nifas tidak perlu qada semula solat mereka, iaitu sewaktu mereka jelas mengalaminya.

Orang kafir setelah memeluk agama Islam (golongan muallaf) juga tidak perlu untuk qada semua solat mereka sebelum memeluk agama Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal, ayat 38: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang kafir itu, jika mereka berhenti (daripada kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu.”

Menurut pendapat ulama-ulama Mazhab Syafie, jika seseorang itu tidak tahu jumlah solat yang telah ditinggalkannya, hendaklah mereka menggantikan solat-solat tersebut sehingga yakin semuanya telah habis diganti.

Kewajipan solat masih lagi ditetapkan ke atas seseorang Muslim tidak kira berapa banyak solat itu ditinggalkan – wajib ke atasnya menggantikan semua solat menurut para jumhur ulama. Seharusnya solat fardu yang ditinggalkan hendaklah digantikan secepat mungkin. Ini kerana meninggalkan solat fardu adalah satu bentuk maksiat kepada Allah SWT.

Solat itu adalah tiang agama. Kukuh tiangnya kukuhlah agama Islam yang kita cintai ini. Marilah kita berusaha untuk memperbaiki amalan dan menjaga amalan solat fardu kita kepada Allah SWT. Marilah kita solat di waktu yang ditetapkan dan cuba solat di awal waktu tersebut setiap hari. Semoga kita beroleh keampunan dan kasih sayang Allah SWT.