Menghadapi kegagalan – bangkit daripada beberapa kali jatuh

dreamstime_s_24673110
Bangkit daripada beberapa kali jatuh © - Dreamstime.com

Setiap manusia pasti akan menghadapi perkara atau peristiwa yang menyedihkan dalam kehidupan mereka, seperti kematian insan yang disayangi atau sebagainya. Sudah tentu, apabila menghadapi sesuatu yang menyedihkan ini, manusia akan menangis. Tidak kurang juga ada yang jatuh sakit kerana menanggung beban penderitaan yang teramat sangat.

Nabi Muhammad SAW juga tidak terlepas daripada mengalami episod-episod kesedihan dalam kehidupan Baginda. Sebagai contoh, kewafatan isteri Baginda, Saidatina Siti Khadijah r.a dan bapa saudaranya, Abu Talib r.a, pada tahun yang sama sehingga ia digelar Tahun Kesedihan (‘Ammul Hazni).

Rasulullah SAW juga kewafatan anak Baginda, Ibrahim r.a, lalu Baginda bersabda:

“Sesungguhnya mata ini menangis dan hati ini bersedih, namun kami tidak mengatakan sesuatu yang tidak diredhai Tuhan kami. Sesungguhnya pemergianmu wahai Ibrahim, disedihi.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Menghadapi kegagalan dan bangkit daripadanya

Kegagalan juga merupakan antara sebab manusia menangis dan berduka. Sebagai contoh, menghadapi kegagalan dalam peperiksaan, kegagalan dalam percintaan dan sebagainya. Kadangkala, kegagalan ini dihadapi oleh manusia beberapa kali sehingga menyebabkan dirinya berasa putus asa. Mungkin tidak bersemangat lagi untuk mencuba, kerana dihantui ketakutan akan gagal lagi buat kali seterusnya.

Seseorang pelajar yang menghadapi beberapa siri kegagalan dalam peperiksaannya, walaupun setelah berusaha gigih, kini berasa putus asa untuk terus berusaha gigih mengulang kaji pelajarannya. Ini adalah kerana dihantui ketakutan akan gagal lagi dalam peperiksaan seterusnya.

Seorang pencinta yang menghadapi beberapa siri kegagalan dalam episod percintaan atau kegagalan rumah tangga. Dia ditinggalkan atau wujudnnya orang ketiga, kini berasa putus asa untuk bercinta. Terasa tawar hati dan dihantui ketakutan untuk kecewa lagi dalam percintaan seterusnya.

Benar, putus asa akan hadir dan membeliti hati tatkala kegagalan sentiasa datang menyinggah tanpa henti. Apatah lagi jika pelbagai usaha gigih telah diberikan. Namun, sinar kejayaan seakan-akan tidak mahu memancari kehidupan, dan sebaliknya hanya menggelapkan kehidupan dengan kegelapan kegagalan.

Bukankah pepatah Jepun ada berkata: ‘Nana korobi ya oki’, atau dalam Bahasa Melayunya bermaksud ‘Bangkitlah kali kelapan, walau tujuh kali jatuh’. Bangkit daripada sedihnya sesuatu kegagalan, walaupun kegagalan tersebut sudah dihadapi buat beberapa kali dan mata sudah pun menangis dek sebab yang sama. Bangkit dan tetap berjuang, dan tidak membiarkan diri terus berputus asa.

Kegagalan sebagai kejayaan yang tertangguh

Tidak semua kegagalan akan terus menjadi gagal, andai seseorang itu bangkit dan mencuba meraih kembali kejayaannya. Malah, kegagalan sebenarnya merupakan kejayaan yang tertangguh, dan boleh diraih kembali asalkan seseorang itu sanggup bangkit walaupun beberapa kali jatuh dek kegagalan.

Seseorang pelajar yang menghadapi beberapa siri kegagalan dalam peperiksaannya, pasti akan meraih jua akhirnya kejayaan yang diimpikan. Bangkit dan berusaha lagi tanpa berputus asa.

Begitu juga seseorang pencinta yang menghadapi beberapa siri kegagalan dalam episod percintaan atau kegagalan rumah tangga. Ia pasti akan merasai cinta yang sebenarnya setelah bangkit dan mencari insan yang betul. Tidak terus menerus tenggelam dalam kesedihan dan kekecewaan.

Hakikatnya, semua manusia pasti menghadapi kegagalan tetapi haruslah terus bangkit setelah jatuh. Namun, untuk bangkit dan berjuang demi meraih kejayaan, itu ialah pilihan sendiri. Yang pastinya, tiada kejayaan boleh diraih dengan hanya tinggal tetap dalam tangisan dan terus berduka.

Bangkitlah dan terus bangkit walau beribu kali jatuh. Mungkin kali ini kejayaan akan datang menyinggah!