Menghayati makna syukur dalam kehidupan

Sahsiah Zalika Adam 01-Ogo-2020
Menghayati makna syukur © Odua | Dreamstime.com

Syukur dari segi bahasa ialah mengetahui akan nikmat, menzahirkan dan memujinya. Dari segi istilah, syukur terbahagi kepada dua. Syukur lidah iaitu memuji Allah SWT, dan syukur anggota badan, iaitu melazimi membuat kebaikan untuk mendapat syafaat daripada Allah.

Menurut pandangan ulama tasawuf, syukur terbahagi kepada 3 peringkat, iaitu:

  • Syukur merupakan anugerah dan kurniaan Allah Subhanahuwataala – iaitu kita sedar dan faham bahawasa syukur itu sendiri adalah kurniaan Allah dalam hati kita dan Allahlah yang inginkan kita bersyukur. Inilah tingkatan yang tertinggi dalam ilmu syukur. Allah taala memberikan rasa syukur di hati, lalu kita bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan.
  • Syukur ke atas pemberi nikmat – iaitu kita bersyukur bahawa Allah SWT adalah pemberi nikmat yang kita perolehi. Apabila diberikan nikmat dalam hidup, kita tidak nampak kepada nikmat itu. Tetapi kita nampak kepada pemberi nikmat iaitu Allah. Tiada pemberi nikmat selain Allah Yang Maha Berkuasa.
  • Syukur atas nikmat yang diberikan – iaitu bersyukur ke atas nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita, seperti nikmat harta benda, kahwin, anak, pangkat, rumah besar, kereta besar dan sebagainya. Allah berikan nikmat tersebut, lalu kita mengucapkan ‘Alhamdulillah’.

Ibn Al-Qayyum menjelaskan cara-cara bersyukur: Bersyukur dengan hati (Qalb), mempercayai dengan sebenar-benarnya bahawa nikmat pemberian itu daripada Allah Subhanahuwataala dan diakui dengan lidah. Syukur dengan anggota badan (al-Jawarih) iaitu melakukan amal kebaikan dengan anggota badan. Yakni berbuat ketaatan dan menjauhi larangan-Nya.

Syukur pada nikmat Allah SWT, sepertimana firman Allah dalam al-Quran: “Sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan menambah (nikmat) kepadamu.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Al-Syaukani menafsirkan ayat tersebut, iaitu sesiapa yang bersyukur atas rezeki yang dikurniakan kepadanya, maka Allah SWT akan perluaskan rezekinya. Sesiapa yang bersyukur atas taufik-Nya dan ketaatan-Nya, maka Allah akan menambahkan lagi ketaatannya. Sesiapa yang bersyukur atas nikmat kesihatan, maka Allah akan memberikannya kesihatan.

Kadangkala kesakitan yang dialami juga merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri. Terdapat hikmah disebalik kesakitan yang akan diperolehi selepas itu. Allah SWT berfirman: “Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya.” (Ibrahim, 34)

Allah SWT berfirman: “Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kamu ingkar kepada-Ku.” (Al-Baqarah, 152)

Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya makanan bagi orang yang bersyukur mendapat pahala, seperti  orang yang sabar ketika berpuasa.” (Hadis sahih)

Justeru, sebagai seorang hamba di muka bumi ini, kita hendaklah sentiasa bersyukur atas nikmat kurniaan Allah SWT. Seseorang yang tidak pernah bersyukur atas nikmat kurniaan-Nya, sebenarnya hidupnya jauh dari rahmat-Nya. Kehidupan yang dipenuhi rahmat akan sentiasa berada di bawah payungan-Nya.