Menghormati dan menghargai suami

Keluarga 30 Jan 2021 Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Menghormati dan menghargai suami
Menghormati dan menghargai suami © Odua | Dreamstime.com

Suami adalah seorang lelaki yang sangat mulia.  Namun di sebalik kemuliaan itu, Allah SWT memberikan tugas yang berat kepada suami dalam memelihara kemaslahatan   rumah tangga dan ahli keluarga.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita dengan apa yang Allah lebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain dan dengan apa yang dinafkahkan dari harta kamu.”

(Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Menghormati dan menghargai suami

Disebutkan dalam tafsir al-Qurtubi, Ibnu Abbas r.a berkata:

“Darjat kelebihan yang disebutkan dalam firman Allah, suami mempunyai satu tingkatan kelebihan pada isterinya, mengisyaratkan dianjurkan lelaki untuk bergaul dengan baik dan bersikap lapang terhadap isteri dalam hal harta dan akhlak. Yakni, yang lebih utama ialah sebaik-baiknya suami membebani tugas terhadap dirinya sendiri.”

Sesungguhnya jodoh pertemuan dan ajal maut semuanya di tangan Allah SWT.  Kita bersyukur kerana ditemukan dengan jodoh dan kemudian dikurniakan pula dengan cahaya mata.  Meskipun banyak dosa yang telah kita lakukan, namun Allah sentiasa memberi kurniaannya dalam menghadapi kehidupan di dunia ini.

Sebagai isteri, anda perlu sentiasa menghormati dan menghargai suami.  Pandanglah suami dari sudut kelebihan bukan kelemahannya.   Suami juga makhluk Allah SWT yang tidak sempurna yang ada kelebihan dan kekurangan.  Anda sebagai isteri juga mempunyai kelemahan dan tidak sempurna.

Sikap terlalu membandingkan kelebihan suami orang lain dengan suami anda akan hanya menambah ketegangan dalam rumah tangga.  Sebenarnya apa yang anda lihat secara luaran mungkin juga indah rupa dari khabar.  Apa yang dilalui oleh orang lain sudah tentu tidak sama dengan apa yang dilalui oleh anda sekeluarga.

Mungkin dari segi tahap kewangan, kerjaya dan sebagainya, suami orang lebih daripada suami anda.  Namun itu bukan ukuran bahawa suami anda tidak sempurna.  Renunglah kembali kenapa anda tertarik dengan suami semasa bersetuju berkahwin dengannya.

Fikirkan apa yang suami lakukan untuk rumah tangga

Justeru hargai apa yang suami lakukan untuk rumah tangga.  Bantu dia dengan memberi semangat atau pandangan untuk meningkatkan hidup.  Selagi dia bersikap baik, beribadah dan berusaha mencari rezeki untuk mencukupkan keperluan anda sekeluarga, sokong dan hargailah suami anda.

Ada kalangan isteri yang tidak perasan bahawa suami anda juga merajuk.  Meskipun dia lelaki, namun suami juga ada perasaan. Dalam kesibukan mengurus rumah tangga, apabila suami pulang dari pejabat, sebagai contoh buatkan secawan kopi dan layanlah dia.

Sambil minum, anda juga boleh berbual perkara yang tidak serius, tentang hal anak-anak atau berbincang menu untuk makan malam. Apa yang berlaku di pejabat, tidak perlu anda tanya kecuali suami dengan rela hati bercerita.

Dalam masa yang sama, anda perlu menunjukkan minat mendengar kisah suami. Semua ini akan membuatkan suami rasa dihargai setelah penat di tempat kerja.  Sekiranya isteri juga bekerja, tidak salah membuat perkara yang sama.

Sesungguhnya hidup berumahtangga perlukan saling memberi dan menerima.  Baharulah aman dan bahagia sehingga ke jannah.  Apa yang paling mustahak, semua yang anda lakukan adalah kerana Allah SWT.

Apabila kita meletakkan niat kerana Allah Taala, maka segala yang berlaku dalam perjalanan hidup anda berumahtangga akan dirahmati-Nya sekali gus sentiasa mendapat keberkatan.