Mengingati garis takdir kematian

Islam untuk Pemula Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Mengingati garis takdir kematian
Mengingati garis takdir kematian © Hanhua | Dreamstime.com

Manusia dijadikan Allah SWT dengan sebaik-baik ciptaan di muka bumi ini untuk beribadat kepada-Nya. Kesempurnaan kejadian manusia tergambar jelas dalam rupa bentuk, akal fikiran yang boleh mencipta dan meneroka, mulut berkata-kata, mata melihat, tangan gagah perkasa dan kaki berjalan menuju kebenaran.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Israa’, ayat 70)

Mengingati garis takdir kematian

Setiap kejadian di muka bumi ini telah ditetapkan garis takdirnya termasuk jodoh dan kematian. Apabila tiba waktunya, sesaat pun tidak dipercepat atau dilambatkan.  Malaikat maut yang ditugaskan mencabut nyawa akan melaksanakan tugas tanpa bersoal jawab dengan Allah SWT.

Kita disuruh mengingati mati supaya dalam melaksana tanggungjawab, kita sentiasa melakukannya dengan niat kerana Allah SWT.  Bumi ini kita makmur dan bangunkan selaras dengan maqasid syariah, memelihara dan menjaga sebaik-baiknya lima perkara asas dalam kehidupan – agama, akal, jiwa, nasab dan harta.

Al-Quran dan as-Sunnah adalah rujukan supaya kekal berada di jalan yang lurus. Kitab agung al-Quran ilmunya cukup luas meliputi bidang sains dan teknologi, juga kehidupan selepas kematian. Al-Sunnah pula adalah setiap yang diambil daripada Nabi Muhammad SAW melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda.

Sayangnya dalam mengharungi frasa kehidupan ini, ada kalangan kita yang tergelincir lalu terlupa akan janji kepada Allah SWT.  Ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW ditinggalkan.

Sekiranya jalan sesat itu tidak dibaiki dengan cahaya keimanan, bagaimana kita mahu mengadap-Nya di saat kematian.  Bersyukurlah kepada anda yang sempat bertaubat sebelum ajal menjemput.

Mohon pengakhiran husnul khatimah

Sesungguhnya, kitab al-Quran banyak mengkisahkan kehidupan selepas mati. Termasuk semasa di alam kubur, hari kebangkitan di Padang Mahsyar, menunggu buku amalan, jambatan Siratul Mustaqim, keadaan Syurga yang abadi dan Neraka yang penuh kedahsyatan.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

(Surah al-Ankabut, ayat 57)

Ibn Kathir berkata:

“Iaitu di mana saja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah.”

(Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Justeru bersiaplah kita selama hidup ini untuk saat kematian.  Semoga dengan bekalan amalan yang kita bawa nanti, mendapat rahmat Allah SWT dan syafaat Nabi Muhammad SAW.

Setiap hari, berusahalah mempertingkat kuantiti dan kualiti ibadat, menjaga hubungan sesama manusia serta prestasi kerja dalam melaksana amanah di samping mencari rezeki.  Setiap Mukmin perlu berusaha menjadikan hari baharu yang dilalui sentiasa lebih baik dari hari semalam serta tidak mengulangi kesilapan sama.

Mohonlah dengan tawaduk akan pengakhiran yang husnul khatimah. Ingatlah selagi hayat dikandung badan kerana syarat mati itu hanya satu, hidup. Dan setiap yang hidup pasti mati.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.