Menisbah ilmu, meningkat reda

Kehidupan Hanita Hassan 18-Mei-2020
Terus istiqamah mencari ilmu © Lutfi Hanafi | Dreamstime.com

Bau-bauan syurga akan meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi.  Saat fajar Syawal menjelma, kita akan kembali kepada fitrah, suci bersih seperti bayi yang baharu lahir.

Ramadan rupa-rupanya mengajar kita tentang pentingnya ilmu di dada.  Dengan ilmu, ia akan mampu menjaga kita dan keluarga daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT. Ilmu juga akan memelihara keselamatan diri  terutama dalam kehidupan abad ke-21.

Terasa sungguh kerdil apabila berdiri di hadapan Allah SWT dalam setiap solat, dengan serba kekurangan. Baharulah kita sedar bahawa ilmu masih sekelumit untuk menunaikan janji yang telah dipatri di hadapan Rabbul Jalal sebelum terlahir ke dunia.  Kita berjanji akan menjadi khalifah di muka bumi ini, berdakwah dan menyebarkan  Islam.

Dunia dan segala macam keseronokan di dalamnya telah melalaikan kita.  Maksiat kita lakukan tanpa rasa sesal, solat kita tinggalkan sedangkan ia tiang agama, harta yang dikumpul tidak pernah cukup, halal haram tidak dipeduli kerana menganggap masih punya banyak waktu untuk bertaubat. Sedikit demi sedikit kita mulai lupa akan janj-janji yang telah dipatri.

Lalu Ramadan ini telah menguji kita betapa Allah SWT adalah sebaik-baik pencipta yang tidak pernah melihat kekurangan diri umat-Nya.  Allah mendatangkan sejenis wabak yang tidak boleh dirasa atau disentuh demi memberi ruang dan peluang kepada umat-Nya mendekatkan diri kepada Yang Maha Adil dan Saksama.

Sepertimana firman Allah SWT yang maksudnya:  “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya, ayat 107)

Sesungguhnya dengan segala keinsafan diri, kita mengharapkan keredaan Allah SWT agar  segala ibadah yang telah dilakukan, sepanjang Ramadan dapat diangkat ke langit yang paling atas dan dikurnia dengan sebanyak-banyak rahmat Allah SWT sebagai bekal di negeri akhirat kelak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa.  Mereka hanya mendengar ucapan:  “Selamat! Selamat! (daripada satu kepada yang lain).”  (Surah al-Waaqiah, ayat 25-26)

Bukan mudah untuk memperoleh ganjaran syurga Allah SWT.  Nabi Muhammad SAW juga berusaha untuk masuk ke syurga.  Baginda adalah antara rasul yang paling banyak menerima ujian berat sehingga berjaya menjadi manusia yang paling disayangi-Nya.

Amal ibadat yang kita lakukan di dunia ini terlalu sedikit untuk menuju ke syurga Allah SWT. Dosa yang ditanggung pula tidak sepadan dan mencukupi dengan amalan yang dilaksana.  Justeru kita perlu bergantung kepada Allah dan rahmat-Nya.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa.  Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan.  Oleh sebab itu, barangsiapa yang reda dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.”  (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Semoga kita semua taat menjalankan perintah Allah SWT secara berterusan dalam meningkatkan ilmu sewaktu di dunia ini.