Menjaga adab ketika menuntut ilmu

Sahsiah Zalika Adam 04-Sep-2020
dreamstime_s_29504077
Menjaga adab ketika belajar © Shd100 | Dreamstime.com

Menuntut ilmu merupakan fardhu ain bagi setiap individu. Dengan ilmu, dapat memandu seseorang ke arah kesejahteraan dan keredhaan. Sebelum menuntut ilmu beberapa adab perlu dipelajari agar ilmu yang dituntut mendapat keberkatan. Sebab itu, ilmu yang mula-mula biasanya dipelajari ialah ilmu adab (akhlak) sebelum mempelajari ilmu-ilmu lain.

Adab-adab menuntut ilmu, antaranya:

Mengikhlaskan niat: Iaitu menuntut ilmu dengan ikhlas kerana Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Yang demikian itulah ugama Yang benar.” (Surah Al-Bayyinah, ayat 5)

Berdoa agar mendapat ilmu yang bermanfaat: Iaitu kita hendaklah berdoa kepada Allah taala agar mendapat ilmu yang bermanfaat. Kita juga perlu berlindung daripada ilmu yang tidak manfaat.

Belajar dengan bersungguh-sungguh: Sebagai penuntut ilmu, kita hendaklah sentiasa merasa dahagakan ilmu dan tidak bersikap malas. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dua orang rakus yang tidak pernah kenyang: iaitu (1) orang yang rakus terhadap ilmu dan tidak pernah kenyang dengannya dan (2) orang yang rakus terhadap dunia dan tidak pernah kenyang dengannya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Menjauhkan diri dari maksiat dan dosa: Kemaksiatan dan dosa dapat menghalang kita dari mendapat ilmu yang bermanfaat, mematikan hati, merosakkan kehidupan.

Tidak malu dan sombong: Ketika menuntut ilmu kita dilarang untuk malu dan sombong, kerana akan menyukarkan mendapat ilmu. Sabda Rasulullah SAW daripada Imam Mujahid rahimahullah yang maksudnya: “Dua orang yang tidak belajar ilmu: seorang pemalu dan seorang yang takbur.” (HR Bukhari)

Mendengar pelajaran yang disampaikan guru dengan baik: Firman Allah SWT maksudnya: “…Oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu – Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar: ayat 17-18)

Diam ketika belajar: Iaitu kita perlulah diam ketika menuntut ilmu dan tidak bercakap-cakap perkara yang tiada manfaat. Firman Allah SWT yang maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raaf, ayat 204)

Mengikat ilmu dan pelajaran dengan tulisan: Iaitu perlu mencatat pelajaran yang dipelajari agar mendapat faedah dan manfaat. Ia juga bertujuan agar ilmu yang disampaikan tidak hilang dan terus melekat dalam ingatan setiap kali pelajaran diulangi. Sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: “Ikatlah ilmu dengan tulisan.”(HR Ibn `Abdil Barr)

Berusaha memahami ilmu yang disampaikan: Untuk memahami sesuatu ilmu, penuntut ilmu perlulah duduk di hadapan guru, memerhatikan penjelasan guru dengan baik. Mengulang kaji pelajaran yang dipelajari dan mengamalkan ilmu.

Mengamalkan ilmu yang dipelajari: Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perumpamaan seorang alim yang mengajarkan kebaikan kepada manusia, kemudian dia melupakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya) adalah seperti lampu (lilin) yang menerangi manusia, namun membakar dirinya sendiri.” (HR at-Tabrani)

Menyampaikan ilmu: Iaitu menyampaikan ilmu yang dipelajari supaya dapat dimanfaatkan kepada masyarakat.

Justeru, untuk meningkatkan sesuatu pengetahuan, ilmu perlulah dicari agar dapat memajukan diri sendiri. Adab-adab sebagai penuntut ilmu perlu dipelajari agar kita mendapat ilmu yang mudah dan berkat.