Mentor Milenia Perkenal Format Baru

Program realiti pencarian bakat nyanyian, Mentor Milenia kembali untuk musim yang terbaru.

Selain menampilkan dua Mentor baru, Mentor Milenia edisi 2019 ini juga turut menggunakan format baru.

Jika dalam edisi Mentor sebelum ini, para Mentor yang akan memilih protege, tetapi kali ini bakal protege pula yang akan memilih siapakah yang bakal menjadi Mentor mereka.

Lima orang Mentor dipilih untuk musim ini iaitu Akim Ahmad, Black Hanifah, Hazama serta dua lagi wajah baru dalam program Mentor iaitu Stacy dan Ernie Zakri.

Seramai 20 bakal protege telah dipilih selepas melalui sesi ujibakat di Shah Alam dan Kota Kinabalu.

Stacy sewaktu di temui di sidang media berkata, beliau sudah bersedia untuk berkongsi pengalamannya selama 11 tahun dalam industri muzik dengan pelapis-pelapis baru.

“Saya teruja untuk mencari pelapis-pelapis baru. Mereka tidak semestinya perlu pandai menari. Tetapi apa yang saya cari adalah peserta yang mempunyai pakej sebagai penyanyi”, jelasnya.

Kata Stacy lagi, pesaing terdekatnya untuk Mentor Milenia musim ini adalah suaminya sendiri iaitu Akim Ahmad.

“Kami sudah sering bekerjasama sebelum ini jadi saya tahu tentang kelebihan dan pengetahuan Akim dalam muzik”, ujarnya.

Namun kata Stacy dia turut menyimpan strategi sendiri untuk bersaing dalam Mentor Milenia.

 

Tanggungjawab untuk mengadili setiap protege sebagai juri pula diberikan kepada Datuk Syafinaz Selamat dan juga Altimet.

Manakala dua pengacara popular iaitu Shuk dan Elly Mazlein diberikan kepercayaan untuk mengendalikan Mentor Milenia 2019 yang akan berlangsung selama 10 minggu.

Jangan lupa untuk menonton episod pertama Mentor Milenia bermula 6 Oktober ini setiap hari Ahad jam 9 malam di TV3.

 

Kredit For : Instagram Mentor, Stacy