Menulis dalam bulan Ramadan menajamkan minda. Apakah tip motivasinya?

Falsafah Siti Suriani Othman
Terkini oleh Siti Suriani Othman
Menulis dalam bulan Ramadan menajamkan minda. Apakah tip motivasinya?
Menulis dalam bulan Ramadan menajamkan minda. Apakah tip motivasinya? © Golib Tolibov | Dreamstime.com

Artikel ini akan membincangkan tiga tip untuk memotivasikan diri untuk berkongsi dengan lebih ramai orang dalam bentuk penulisan agar dapat memanfaatkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah.

Manfaatkan sepenuhnya Ramadan kali ini

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah. Dalam bulan ini, umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah dengan seikhlas-ikhlasnya dengan mendambakan ganjaran pahala daripada Allah Taala.

Dalam pada itu, umat Islam juga mengambil bulan ini sebagai bulan mendidik diri dan kekal istiqamah dalam memastikan ibadah yang konsisten serta peningkatan iman dan takwa daripada semasa ke semasa.

Salah satu kaedah beribadah yang memanfaatkan ramai orang ialah berkongsi menerusi penulisan. Hal ini mungkin tidak dirasai penting oleh semua orang.

Tetapi bagi mereka yang minat menulis dan berkongsi menerusi pelbagai platform penulisan seperti media massa mahupun media sosial, bulan Ramadan adalah bulan yang tenang dan aman untuk menulis dan berkongsi.

Menulis dalam bulan Ramadan satu keindahan

Ini adalah kerana ia dimotivasikan oleh ketenangan bulan itu sendiri dan jadual seharian yang tertumpu kepada aktiviti-aktiviti ibadah yang lebih tersusun.

Dengan jadual seharian yang lebih padat dengan aktiviti ibadah termasuklah membaca dan menulis, maka tidak hairan, banyak penulis juga mengakui berlaku peningkatan terhadap bilangan pembaca karya mereka dalam bulan Ramadan.

Hal ini mengkagumkan dan lebih mengkagumkan lagi andai kita semua dapat meneruskan keaktifan membaca dan berkongsi luar daripada bulan Ramadan.

Namun, tidak dinafikan ada juga penulis yang merasakan menulis dalam bulan Ramadan lebih sukar berbanding bulan biasa. Ini kerana waktu yang lebih sibuk untuk tujuan khas seperti persiapan berbuka puasa, rasa lapar yang mungkin meletihkan dan mengurangkan ketajaman idea serta kesibukan meningkatkan kualiti ibadah masing-masing.

Tips kekal menulis dalam bulan Ramadan

Dikongsikan beberapa tip untuk memotivasikan diri menghasilkan karya penulisan dalam bulan Ramadan:

  • Menulis dianggap lebih mudah dan tidak memenatkan secara fizikal. Bagi mereka yang minat menulis, kurangnya aktiviti berbentuk senaman pada bulan Ramadan membolehkan lebih banyak hasil penulisan dihasilkan. Ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
  • Ingatlah pada bulan Ramadan, pahala kebaikan kita digandakan. Menulis adalah satu bentuk perkongsian yang boleh dibaca oleh semua orang dari seluruh dunia. Dengan menulis sesuatu perkara yang baik, ia pasti menjadi ibadah. Ibadah pula tempatnya sangat istimewa pada bulan Ramadan dan seharusnya peluang itu tidak pernah dilepaskan.
  • Menulis kebaikan adalah satu bentuk sedekah ilmu yang berpanjangan. Dengan niat yang baik, Allah SWT menjanjikan sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, maka akan diberikan ganjaran paling sedikit 10 ganda pahala dan paling banyak ialah 700 kali ganda.

Maka amatlah rugi jika tidak kita manfaatkan kebenaran ini. Mari gunakan masa secara produktif pada bulan Ramadan, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi kekal memanfaatkan orang lain!

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.