Menyayangi anak yatim

Budaya Hanita Hassan 03-Jul-2020
Sayangi anak-anak yatim © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Al-Quran menyebut perkataan yatim sebanyak 23 kali.  Ia sebagai gambaran bahawa golongan anak yatim adalah mereka yang perlu diberi perhatian serta pembelaan. Fitrah kehidupan, mereka juga mahu hidup selesa dan sempurna seperti orang lain yang mempunyai ibu dan bapa.

Sekiranya anda diwasiatkan serta diberi tanggungjawab menjaga dan menguruskan harta anak yatim, lakukanlah dengan sebaiknya. Berilah pendidikan sewajarnya sehingga ke peringkat tertinggi dan uruskan harta mereka dengan mengembangkan pada tempat-tempat yang boleh memberi maslahah kepada anak-anak yatim.

Sebagai insan yang lemah, anak yatim perlu disayangi dan dilindungi. Mengabaikan mereka samalah seperti anda membiar dan merosakkan mereka.  Dalam jangka panjang, mereka akan merosakkan pula masyarakat.  Sedangkan Allah SWT tidak menyukai kerosakan dan akibat yang bakal terjadi disebabkan kerosakannya.

Islam melihat anak yatim sebagai mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Nabi SAW menjelaskan melalui sabdanya yang bermaksud: “Tidak ada keyatiman setelah baligh.”  (Hadis riwayat Abu Daud 2873, dinilai sahih oleh al-Albaani)

Kamus Dewan Edisi ke-4 mendefinasikan yatim sebagai anak yang kematian ayah atau ibunya.  Sekiranya seorang anak itu kematian kedua-dua ayah dan ibu, ia dinamakan sebagai yatim piatu.

Istilah khusus yang menamakan anak yatim dalam Bahasa Arab ialah al-Yatim.  Ia digelar tunggal atau bersendiri.  Telah berkata Ibn al-Sikkit:  “Al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang yang kehilangan ibu dengan al-Yatim.”

Berkata Ibn Barriy pula:  “Al-Yatim adalah bagi yang kematian ayah.  Al-Ajiy bagi yang kematian ibu manakala al-Latim pula adalah bagi yang kematian keduanya.”

Sekiranya kita asuh anak yatim dengan baik dan sempurna, memberi sepenuh kasih sayang, mereka juga boleh berjaya seperti anak-anak lain yang mempunyai keluarga.

Ramai kalangan tokoh dan cendekiawan tersohor Islam merupakan anak yatim sejak kecil.  Namun dengan didikan yang sempurna dan kasih sayang, mereka berjaya dalam kehidupan dan ilmuan yang menjadi ikutan. Antara tokoh tersebut ialah Sayyidah Zainab binti Ali r.a, cucu Rasulullah SAW.

Begitu juga dengan al-Syafie atau Muhammad bin Idris al-Syafie r.a, pengasas kepada Mazhab Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal r.a, seorang faqih dan muhadis dan antara pengasas mazhab Hanbali.

Imam al-Bukhari atau Muhammad Ismail al-Bukhari r.a, iaitu antara muhadis terulung yang terkenal dengan kitabnya Sahih al-Bukhari.  Hujjatul Islam Imam al-Ghazali atau Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Tusi al-Ghazali r.a dan Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani atau Ahmad bin Ali bin Muhammad al-Kannani al-Asqalani r.a.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka bertanyakan kepada mu (Wahai Muhammad) terhadap anak-anak yatim.  Katakanlah bahawa berbuat islah (kebaikan) kepada mereka itu (anak-anak yatim) adalah merupakan suatu kebaikan.”  (Surah al-Baqarah, ayat 220)

Sesungguhnya tanggungjawab membela anak yatim bukan sahaja terletak di tangan penjaga, malah masyarakat juga perlu bersama-sama menjaga hak dan keperluan mereka. Hukum menganiayai anak yatim amat berat.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).” (Surah an-Nisaa’, ayat 10)

Cendekiawan Nusantara kita, Buya Hamka pernah berkata bahawa: “Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti.” Semoga kita sama-sama menjadi keluarga dan masyarakat yang bertanggungjawab.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!