Menyemai rasa cinta kasih keluarga

Kepercayaan Syed Safri 26-Mei-2020
Cheerful muslim family playing on swing
Didik, bina dan usaha untuk anak-anak © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Keluarga adalah tonggak dalam masyarakat Muslim dan ia dipandu oleh cara hidup Islam yang lengkap. Kebanyakan agama menganggap kehidupan keluarga adalah satu rahmat Tuhan. Kemantapan sesebuah perkahwinan juga adalah sesuatu yang amat dihargai oleh masyarakat dunia. Bagi umat Islam, perkahwinan diciptakan oleh Allah SWT Suci sebagai sendi ketetapan utama dalam diri seorang manusia dan sesebuah masyarakat. Seterusnya, bagaimanakah rupa idaman hubungan keluarga dalam Islam?

Cara terbaik untuk memahaminya adalah dengan melihat secara menyeluruh dan meneliti corak falsafah atau ajaran agama yang penekanannya adalah tentang dunia nyata, alam akhirat dan pembentukan diri manusia. Dasar suasana keluarga dalam Islam dan maksud tradisionalnya merangkumi cinta, pengorbanan, kesetiaan dan ketaatan. Peningkatan ilmu pula bermakna bertambah baiklah rasa kemanusiaan. Saling menghormati dalam keluarga dan sentiasa mentakzimkan hubungan ibu bapa dan anak-anak pula memainkan peranan asas dalam urusan kekeluargaan.

Ini jelas difahami melalui Al-Quran, surah ke 17 (Al-Israa), ayat ke 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan ‘Ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Kecenderungan semula jadi anak-anak adalah untuk mencintai ibu bapa dan menghormati mereka. Namun harus diingat, sebahagian daripada pendirian agama Islam tentang hal ini ialah anak-anak juga mempunyai hak untuk dihormati. Saranannya di sini adalah supaya kita sentiasa mencipta hubungan yang terbaik sesama keluarga dalam kehidupan di dunia. Sebagai ibu bapa pula, apabila seseorang menunjukkan sifat takwa kepada ibu bapa yang telah pun berumur, anak-anak juga akan menunjukkan kesolehan kepada kedua ibu bapa mereka.

Sesebuah keluarga itu punyai matlamat khas yang tersendiri. Yang paling cantik ialah, Nabi Muhammad SAW telah menetapkan bahawa suami dan isteri yang berkahwin itu telah melengkapkan agama mereka. Kemudian, kemahuan mewujudkan keluarga ideal yang dihormati dan boleh dicontohi –  keluarga yang mengikuti petunjuk kenabian. Sesebuah keluarga juga mahu menawarkan masyarakat anak-anak yang cemerlang dan berkebolehan dalam membantu membina masyarakat menerusi pengetahuan dan pekerjaan, juga menganjurkan kebaikan dan melarang kejahatan.

Anak yang sering dianggap sebagai buah hati keluarga, sesungguhnya hanyalah sebahagian daripada institusi keluarga dalam tradisi Islam. Hubungan silaturrahim ini sebenarnya adalah lebih luas merangkumi luar rumah tangga, termasuk nenek, datuk, saudara-mara, dan moyang dari kedua-dua keluarga ibu dan bapa. Pemahaman masyarakat Muslim adalah, kecantikan berkeluarga besar sebegini dapat menawarkan kestabilan, kesinambungan, kasih sayang dan pelbagai sokongan antara satu sama lain.

Keluarga Islam saling berkaitan dalam pelbagai cara. Akad nikah perkahwinan menyatukan suami dan isteri, kemudian datang ikatan yang menghubungkan ibu bapa dengan anak mereka. Kepentingan keluarga berpunca dari peranannya yang penting, iaitu pembentukan seorang manusia yang akan menguntungkan dirinya sendiri serta orang lain. Dan ini bukanlah perkara mudah. Sebagai contoh, keluarga mempersiapkan seorang anak dan membesarkannya menjadi seorang insan yang baik melalui nilai-nilai yang disuburkan dengan bantuan, bimbingan, dorongan dan sebagainya.

Kerana sebahagian besar kehidupan kita juga termasuk berhubung dengan dunia luar dari dalam lingkungan ‘keluarga’, mengekalkan persahabatan dan hubungan produktif juga perlu dalam bersahabat, sama ada dengan kawan-kawan sekolah, jiran terdekat atau pun rakan sekerja. Ini adalah lanjutan daripada persekitaran dalaman kaum keluarga, dengan pedoman hubungan dibimbing oleh aturan tingkah laku dan takwa yang boleh mengekalkan hubungan sesama manusia dengan sebaik mungkin.

Masyarakat Muslim percaya bahawa nilai-nilai murni yang dipupuk menerusi institusi kekeluargaan, manfaatnya bukan untuk sesebuah keluarga sahaja, tetapi ia meliputi juga masyarakat Islam setempat, malahan seluruh ummah di dunia. Dalam hal ini, alam yang kita duduki bukanlah tempat yang sepi. Ia adalah sebuah rumah yang mana sesiapa sahaja berada di sekeliling kita akan menjadi akrab dan mesra. Kita semua adalah sebahagian daripada keluarga yang sama – karya daripada Yang Maha Pencipta. Oleh itu, saling mencintai dan memelihara sesama manusia adalah hasil dari kesedaran bahawa kita adalah satu keluarga.