Menyenangi kucing satu perkara kebajikan

Suka Hanita Hassan 06-Mei-2020
Sayangi kucing ada pahalanya © pakorn sungkapukdee | Dreamstime.com

Makhluk selain manusia dijadikan Allah SWT bukan sekadar sebagai penghias alam, tetapi untuk memberi  manfaat kepada manusia seluruhnya.  Begitu juga dengan penciptaan haiwan yang berfungsi memberi keseimbangan emosi dan ekosistem alam.

Kucing adalah binatang peliharaan banyak keluarga kerana sifatnya yang manja dan mudah dipelihara.  Menurut sejarah, haiwan ini telah hidup sejak zaman Firaun dan dikatakan pernah hidup di istana Firaun. Ia juga binatang kesayangan Abu Hurairah r.a., perawi hadis tersohor pada zaman Rasulullah SAW.  Beliau digelar bapa kucing oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.

Rasulullah SAW berpesan supaya menyayangi kucing sebagaimana anda menyayangi keluarga sendiri. Isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah r.a. iaitu anak kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. juga amat menyayangi kucing. Setiap kali kucingnya menghilangkan diri, Aisyah akan berasa kehilangan.

Seekor kucing boleh menjadi asbab untuk anda masuk syurga atau neraka.  Dalam sebuah hadis sahih Al-Bukhari, dikisahkan seorang wanita telah masuk ke dalam api neraka kerana seekor kucing yang diikatnya, tidak diberi makan dan tidak dilepaskan kucingnya itu supaya memakan binatang kecil yang melata dibumi.

Oleh kerana kekejaman yang dilakukan terhadap kucing tersebut, tidak diberi makan dan tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri sehingga mati dalam kelaparan, maka hal ini menyebabkan dirinya diazab dan dimasukkan ke dalam neraka.

Orang Mukmin hendaklah bersifat belas kasihan terhadap manusia dan makhluk yang lain. Dalam masa yang sama, jauhilah sifat kejam, aniaya dan zalim.  Allah SWT memuliakan hamba-Nya yang bersifat mahmudah (terpuji) dan akan mengampunkan dosa mereka yang prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ketika ada seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan ia berasa sangat haus.  Lalu ia menemukan sebuah sumur kemudian dia turun ke dalamnya lalu minum dan kemudian keluar.   Tiba-tiba ada seekor anjing yang menjulurkan lidahnya.  Akibat kehausan, ia terpaksa makan tanah lembap.”

Orang itu lalu berkata, “Anjing ini kehausan seperti yang aku alami.”  Lalu ia turun semula ke sumur itu  kemudian mengisi sepatunya dengan air dan memegangnya dengan mulut lalu memberi minum anjing itu.  Maka, Allah SWT berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.”

Sahabat kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah terhadap haiwan-haiwan ada pahala bagi kami?”  Baginda bersabda, “Pada setiap makhluk hidup mendapat pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

Konsep pahala dalam Islam amat luas.  Ia tidak terbatas kepada ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan haji.  Bahkan, ia mencakupi seluruh amal kebajikan yang ada hubungan dengan manusia, haiwan dan alam sekitar seluruhnya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dan tidak seekor binatang melata di bumi dan burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya melainkan adalah umat seperti kamu.”  (Al-Anam, 38)

Keperluan fizikal manusia dan binatang seperti lapar, haus, sakit dan sebagainya adalah serupa.  Oleh itu, menjadi kewajipan kepada anda yang diberi keistimewaan akal supaya sentiasa memelihara alam sekitar demi kesejahteraan makhluk yang lain.