Menyimpan wang dengan cara Kakeibo (Kah-keh-boh)

Ekonomi Hannan
Pilihan oleh Hannan
Menyimpan wang dengan cara Kakeibo (Kah-keh-boh)
Menyimpan wang dengan cara Kakeibo (Kah-keh-boh) © Loganban | Dreamstime.com

Anda mempunyai masalah untuk menyimpan wang? Sukar untuk menguruskan kewangan walaupun telah mencuba pelbagai cara? Inilah masanya untuk anda berkenalan dengan Kakeibo, sistem merancang kewangan yang sudah menjadi amalan rakyat Jepun sejak dahulu lagi.

Kakeibo (disebut kah-keh-boh) merupakan sebuah perkataan Jepun yang bermaksud ‘buku akaun rumah’. Konsep ini diperkenalkan oleh seorang wartawan, Hani Makoto yang banyak menulis artikel yang menyasarkan para suri rumah.

Hendak tahu lebih lanjut mengenai sistem Kakeibo? Mari ikuti penjelasannya di dalam artikel di bawah.

Apakah maksud Kakeibo?

Hani Makoto menggalakkan agar para isteri mempunyai sistem tersendiri untuk menguruskan kewangan keluarga. Malah, beliau juga menggalakkan suri rumah agar mempunyai simpanan sendiri.

Kakeibo merupakan satu cara untuk merancang kewangan rumah secara manual. Maksud manual ialah tidak menggunakan sebarang aplikasi atau peralatan elektronik – hanya sebuah buku dan juga sebatang pen.

Sebelum mula menyimpan, ada empat soalan penting yang anda perlu jawab:

  1. Berapa banyak duit yang anda perlu belanjakan setiap bulan?
  2. Sebanyak mana jumlah duit yang anda ingin simpan?
  3. Berapa banyak duit yang dibelanjakan?
  4. Bagaimana anda boleh lebih jimat pada masa akan datang?

Soalan-soalan ini penting untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada duit anda setiap bulan. Langkah ini juga perlu dilakukan supaya anda tahu aliran masuk dan keluar setiap bulan sebelum menetapkan apa-apa bajet.

Bagaimana hendak mula menyimpan wang dengan cara ini?

Jika anda berminat untuk mula merancang kewangan dengan cara Kakeibo, anda perlukan dua buku nota – satu bersaiz besar dan satu bersaiz kecil.

Jika anda tidak tahu untuk bermula, anda boleh beli buku yang khas untuk tujuan Kakeibo di pasaran. Malah, ada banyak template yang tersedia dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang.

Buku yang bersaiz besar akan anda gunakan untuk merancang simpanan setiap bulan, manakala buku yang kecil pula anda akan bawa kemana-mana sahaja untuk mencatatkan perbelanjaan anda setiap hari.

Ingat ya, setiap perbelanjaan mestilah direkodkan di dalam jurnal Kakeibo, tidak kiralah betapa kecilnya perbelanjaan tersebut. Pada akhir bulan, anda akan mula mengkategorikan perbelanjaan tersebut kepada empat kategori seperti di atas.

Dengan menjawab soalan keempat, anda dapat lihat ke mana sebenarnya duit anda telah lolos. Soalan ini juga dapat membantu anda untuk merenung kembali gaya perbelanjaan anda. Mungkin anda terlalu banyak berbelanja secara semberono, sebab itulah anda sukar untuk menyimpan wang!

Selepas anda mempunyai idea mengenai perbelanjaan anda, bahagikan bajet bulanan kepada dua kategori utama iaitu penting dan tidak penting. Kategori ini boleh dibahagikan lebih lanjut kepada kategori yang lebih kecil seperti perbelanjaan am, keinginan dan juga kos tidak dijangka (boleh diubah mengikut keselesaan anda).

Kemudian, tuliskan sasaran simpanan anda. Nyatakan juga tempoh masa menyimpan dan kegunaan wang tersebut pada masa hadapan.

Mengajar pengamalnya lebih berdisiplin dengan penyimpanan duit

Kakeibo merupakan satu langkah mudah yang berguna untuk mereka yang mempunyai masalah untuk menyimpan. Ia bukan sahaja mudah dan fleksibel, Kakeibo juga mungkin secara tidak langsung dapat mengajar pengamalnya untuk lebih berdisiplin dengan penyimpanan duit.

Ramai orang yang telah mencuba Kakeibo mengakui ia merupakan satu cara yang menyeronokkan dan bebas tekanan. Jika anda berminat untuk mula menyimpan, tunggu apa lagi!

Inilah masanya untuk membeli buku nota baharu dan mula menyimpan wang dengan cara Kakeibo.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.