Menzahirkan seni melalui lukisan mural

Seni Zalina Majid 10-Ogo-2020
Seni mural di Melaka © Antonio Duque | Dreamstime.com

Seni dalam Islam bukanlah seni yang hanya memfokuskan kepada agama tetapi merangkumi budaya Islam dari seluruh dunia yang kaya dan pelbagai. Kesenian difahami dan dibicarakan dari pelbagai aspek dan berlainan semenjak zaman Nabi Muhammad SAW hingga abad ke-21 kini. Menurut Al-Ghazali, “Kesenian merupakan satu penghasilan dari jiwa yang jujur dan tercipta bagi menyatakan suara jiwa terhadap Al-Khaliq.”

Mural adalah lukisan yang dibuat secara langsung di atas permukaan dinding dan permukaan luas yang lain. Mural dihasilkan oleh tangan-tangan mereka yang berbakat. Pelukis mural menzahirkan seni dan menyampaikan mesej-mesej baik melalui lukisan. Kita seringkali melihat lukisan mural menghiasi di dinding-dinding bangunan, rumah dan jalan.

Seni kreativiti ini membuka mata orang ramai dengan keunikan seni yang dihasilkan. Minat dan kreativiti yang ada pada seorang pelukis boleh menjadikan kerjaya ini sebagai sumber pendapatan tetap. Bahkan ia mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Karya seni para pelukis dinilai hebat kerana hasil bakat dan kreativiti mereka. Lukisan mural juga tentunya memberi kepuasan berbeza kepada seseorang pelukis. Pelukis perlu bijak mengambil peluang dan berusaha untuk menjadi yang terbaik dengan menunjukkan bakat yang dimiliki. Lukisan bermotif juga memainkan peranan dan ia akan mengikut kehendak pelanggan.

Mohd Zuwairi Abd. Rahman, seorang pelukis anak kelahiran Melaka berkata, dari segi masa, tempoh sesebuah lukisan bergantung kepada tema, warna, dan keluasan kaki persegi. Seni mural juga menjadi semakin popular dan kebiasaannya menjadi permintaan sesebuah organisasi samada kerajaan mahupun swasta. Oleh itu, lanskap dan peluang pendapatan terbuka lebih besar dengan bayaran lebih lumayan.

Para peniaga juga tidak melepaskan peluang dengan membina kreativiti perniagaan melalui seni mural ini. Mereka membina pusat perniagaan dengan bentuk perkhidmatan bergambar. Ruang dalam bangunan atau pusat perniagaan itu tadi akan dipenuhi dengan gambar mural 3D. Pelanggan atau pelancong tempatan boleh bergambar di sudut-sudut menarik. Ia kelihatan ringkas tapi menguntungkan.

Sesetengah masyarakat ada yang kurang peka dan tidak bertanggungjawab terhadap lukisan mural dengan melakukan vandalisme. Sedangkan mural adalah bertujuan untuk mewarnai dinding kosong dan menukar bangunan buruk kelihatan cantik dan bernilai. Mural yang dilukis adalah berbayar, perlu dihargai nilai seninya dan tidak sepatutnya disia-siakan.

Peluang pelukis mural sangatlah luas, apa yang penting perlu ada kemahuan dan keberanian melakukannya. Bagi mereka mempunyai hobi melukis bolehlah memulakan sesuatu yang baru serta mengambil peluang menjadikan mural satu kerjaya menjana pendapatan.