Meraih reda dan rahmat Allah SWT

Meraih rahmat Allah SWT © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Rahmat itu sangatlah luas. Berapa ramai di antara kita yang ingin mendapatkan rahmat dan reda Allah SWT? Sekadar berkeinginan sahaja tidak cukup syarat untuk kita memperolehinya tanpa meletakkan usaha-usaha mendapatkannya. Sedarlah bahawa hidup ini menjadi sesuatu yang sia-sia tanpa rahmat dan reda Allah.

Adanya rahmat dan reda Allah SWT adalah satu bonus untuk kita melangkah ke syurga Allah yang dihiasi dengan penuh keindahan. Reda Allah datang bersama dengan rahmat-Nya. Namun, ianya bergantung kepada apa yang telah kita lakukan dalam kehidupan ini.

Jika hidup kita mengejar untuk reda Allah SWT, maka Allah pasti akan menurunkan rahmat-Nya tetapi sebaliknya berlaku jika kita berpaling daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kepada keredaan Allah.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 175: ‘’Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (agama)-Nya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat dan kurnia dari-Nya (syurga), dan menunjukkan mereka jalan yang lurus kepada-Nya.”

Sebagai seorang yang beragama islam, perlu untuk kita beriman kepada Allah SWT dan berpegang teguh kepada segala suruhan-Nya. Taat segala perintah-Nya dan melakukan amal ibadah kepada-Nya semata-mata untuk mendapatkan keredaan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah aal-i-Imran, ayat 132: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat.”

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mencari reda dan rahmat Allah SWT ialah:

Sabar ketika ditimpa musibah

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 155-157: “Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ‘Innā lillāhi wa innā ilaihi rāji‘ūn’. Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhan-nya.”

Setiap sesuatu musibah yang menimpa kita adalah ujian dari Allah SWT untuk melihat tahap keimanan kita terhadap-Nya. Sesungguhnya, Allah tidak akan memberi ujian melampaui batas kemampuan hamba-Nya. Hendaklah kita bersabar dan semakin mendekatkan diri kepada Allah ketika diturunkan musibah  dalam apa jua keadaan sekalipun.

Berbuat baik

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 56: “Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan.”

Lakukanlah kebaikan walaupun hanya sekecil-kecil perkara. Tidak ada salah dan rugi jika kita berbuat baik kepada manusia mahupun haiwan bahkan melakukan kebaikan itu membawa kita untuk mendapatkan ganjaran pahala.

Memohon keampunan (Istighfar) kepada Allah SWT

Firman Allah SWT dalam surah an-Naml, ayat 46: “Mengapa kamu tidak memohon ampunan kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat?”

Sebagai manusia biasa yang seringkali tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa, kita perlu sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT.  Rajinkan diri untuk sentiasa beristighfar kepada Allah.

Mendengarkan bacaan Al-Quran

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 104: “Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah dan diamlah, agar kamu mendapat rahmat.”

Mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran dapat memberikan kedamaian kepada hati dan diri kita. Hati yang tenang dan sentiasa mengingati Allah pasti mendapat keredaan dan rahmat dari-Nya.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!