Merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam

Budaya Abi Aasim
Pilihan oleh Abi Aasim
Merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam
Merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam © David Izquierdo | Dreamstime.com

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama. Walaupun Islam merupakan agama rasmi di Malaysia, rakyatnya bebas menganut agama mereka sendiri dan tidak ditindas oleh golongan majoriti Muslim.

Sikap toleransi dan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik. Di negara ini sudah biasa kelihatan rakyat pelbagai bangsa dan agama menghadiri majlis-majlis anjuran rakyat berbilang bangsa.

Merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam

Namun dalam meraikan budaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini, sebagai seorang Muslim wajib bagi kita mematuhi hukum dan peraturan yang telah digariskan oleh Islam.

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam, beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:

Majlis tidak bertentangan dengan akidah Islam

Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Maksud ‘bertentangan dengan akidah Islam’ ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam. Sebagai contoh:

  • Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama
  • Menyertai atau melakukan upacara keagamaan orang bukan Islam
  • Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh
  • Mengetengahkan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu lilin dan sebagainya

Majlis tidak bertentangan dengan syarak

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Maksud ‘bertentangan dengan syarak’ ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

  • Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya
  • Mengagungkan adat khusus seperti membunyikan loceng, memecah kelapa atau menghias pokok krismas
  • Mempunyai acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya

Majlis tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Islam

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam. Maksud ‘menyentuh sensitiviti masyarakat Islam’ ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

  • Nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam
  • Ucapan-ucapan yang menghina umat dan agama Islam
  • Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam

Sebagai seorang Muslim, kita perlulah sentiasa cakna dengan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Khususnya bila merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam.

Meraikan kepelbagaian agama dan budaya tidak salah tetapi perlulah menepati apa yang telah digariskan oleh syariat.