Mercy Malaysia melancarkan inisiatif Rayuan Ramadan

Makanan Hafiz Firdaus 17-Apr-2020

Berikutan berterusannya wabak COVID-19, Mercy Malaysia telah melancarkan inisiatif ‘Rayuan Ramadan’ untuk mengumpulkan dana bagi membantu masyarakat, terutamanya keluarga-keluarga yang bakal menghadapi Ramadan yang agak berlainan pada tahun ini. Ir. Amran Mahzan, Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia berkata, dana yang terkumpul akan disalurkan bagi tujuan membeli bungkusan makanan yang dapat menampung empat ahli keluarga untuk berbuka puasa dan bersahur.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, Mercy Malaysia telah menerima banyak permintaan memohon bantuan makanan dari keluarga-keluarga yang bergaji harian, bercuti tanpa gaji dan yang diberhentikan kerja. PKP yang terus dilanjutkan baru-baru ini akan menjejaskan lebih ramai lagi golongan terbabit. Sebaliknya, mereka yang masih bekerja tetap dapat berjimat cermat melalui pengurangan duit petrol perjalanan harian ke pejabat dan bayaran tol. Penjimatan belanja juga dicapai kerana tidak makan di luar dan tidak bersosial secara tidak menentu.

Amran menyeru orang ramai agar dapat menyalurkan sekadar yang termampu dan menderma melalui penjimatan wang atau simpanan wang bagi tujuan yang mulia ini, tertamanya di bulan Ramadan. Ini adalah satu cara untuk berkongsi keberkatan dengan orang lain yang bernasib malang akibat PKP, seperti golongan miskin bandar dan juga golongan yang hilang sumber pendapatan di luar bandar.

Sumbangan yang dikecualikan cukai ini boleh dibuat melalui laman web www.mercy.org.my , Tabung Kemanusiaan MERCY (5621 7950 4126) dan MERCY Malaysia (CIMB 8000-7929-08).

Menjelang Ramadan minggu depan, Mercy Malaysia akan mula mengedarkan bungkusan makanan bermula esok, di tujuh lokasi seluruh negara. Sehingga hari ini, Mercy Malaysia telah mengedarkan hampir 15,000 bungkusan makanan di seluruh negara. Ini membabitkan keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan dari kampung-kampung luar bandar di Kelantan dan Sabah, serta di sekitar Lembah Klang.