Merdeka di musim pandemik

Kehidupan Zalika Adam 31-Ogo-2020
dreamstime_s_75882349
Fahami erti sebenar kemerdekaan © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Definasi ‘Merdeka’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah ‘Bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan’. Konsep merdeka menurut Za’ba: “Berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan.

Kemerdekaan yang sebenar adalah kemerdekaan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk oleh empat aspek utama: agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak). Aspek terpenting di antara keempat-empat itu sudah tentulah agama, kerana dengan agama sahajalah jiwa manusia akan mengecapi kemerdekaan yang sebenar.”

Sambutan kemerdekaan pada tahun 2020, sempena Malaysia ke-63 tahun adalah sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Perarakan dan perhimpunan beramai-ramai tidak dibenarkan adalah untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kerana wabak COVID-19 masih belum berakhir.

Menghayati erti kemerdekaan

Berikut beberapa huraian yang didapati sempena sambutan kemerdekaan pada tahun ini:

Kemerdekaan peristiwa Islam

Nabi Muhammad SAW memerdekakan manusia daripada Jahiliyyah kepada cahaya Islam, kebenaran dan keadilan. Islam adalah agama membawa rahmat ke seluruh alam, penghijrahan kaum Muhajirin ke Mekah, golongan ashab al-Kahfi yang berjaya keluar daripada raja yang zalim, Jaàfar Ibn Abi Talib r.a menyelamatkan panji Islam dalam peperangan Mu’tah (Jamadilawal, 8 Hijrah, 629 Masihi). Maka, Islam menjadi simbol kemerdekaan daripada penjajah dan musuh kepada kebebasan yang sebenar.

Menghayati Rukun Negara

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV. Ia diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Tujuan utama diperkenalkan ialah membentuk perpaduan yang kukuh.

Lima Prinsip Ruku Negara ialah: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran dan Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan.

Membetulkan ideologi

Malaysia adakah negara yang kita cintai dan sayangi. Sebarang ideologi buruk perlulah dihapuskan. Kita sering mendengar kata-kata ‘Melayu adalah bangsa yang malas’.  Ungkapan ini perlulah ditepis agar tidak dijadikan satu ungkapan yang berterusan hingga ke generasi seterusnya.

Lihatlah kegemilangan Melayu semasa Kesultanan Tanah Melayu. Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor diumumkan sebagai angkasawan Malaysia pertama pada tahun 2007. Juga para pemain pasukan bola sepak negara sebelum ini, adalah gabungan bangsa yang berbeza-beza. Semoga ia dapat dikekalkan agar keharmonian negara tetap terjamin. Sambutan hari Merdeka bukan membuang masa malah diraikan dengan seadanya walaupun di rumah sendiri dengan mengibarkan bendera Malaysia.

Patuhi prosedur operasi standard

Kita merdeka apabila mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Contohnya, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan bagi mengelakkan penularan COVID-19. Sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakkan sosial dan menggunakan sabun pencuci tangan. Ini dapat menyelamatkan keluarga kita dan rakyat keseluruhannya daripada penularan penyakit ini.

Membasmi vandalisme

Iaitu perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Sikap vandalisme yang ditunjukkan oleh segelintir rakyat Malaysia atau warga luar dengan menconteng gambar pemimpin dan memijak bendera Malaysia perlu diambil tindakan. Sayangkan negara adalah dengan menjaga bendera dan menjaga kedaulatan (kepimpinan) negara kita.

Oleh itu, berbanggalah menjadi rakyat Malaysia. ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’.