Mereka yang dalam kesusahan – kerajaan dan gelandangan

Kehidupan Hanita Hassan 07-Okt-2020
Petaling Street, Kuala Lumpur
Mereka yang dalam kesusahan - kerajaan dan gelandangan © Chris Mouyiaris | Dreamstime.com

Apabila malam kian larut, lampu-lampu neon di gedung-gedung besar kota dipadamkan, golongan gelandangan mula mencari tempat tidur masing-masing.  Sementara menanti siang, di kaki lima bangunan, di bawah jambatan, di tepi sungai atau di belakang lorong, mereka menghampar kotak-kotak kosong untuk melelapkan mata dan meluruskan pinggang.

Saat warga kota lena dibuai mimpi indah, gelandangan hanya beralaskan kotak dijadikan tilam empuk, berdindingkan bunyi kenderaan dan berbumbungkan langit. Pemandangan itu sudah lali di mata warga kota.  Sedang mata mula lena, ada pula sekumpulan insan mulia datang mengejutkan gelandangan dengan bungkusan makanan sebagai alas perut.  Tidak kurang juga yang membawa baju dan keperluan mandian.

Bagi anak-anak kecil, ia seolah-olah seperti pesta.  Malam yang semakin larut sudah tidak dipeduli.  Makanan yang diberi dimakan dengan penuh kesyukuran dan doa semoga pemberian itu akan berterusan.  Selepas itu masing-masing menghilang dan lena dibuai mimpi untuk menggapai impian setinggi langit di kota besar yang penuh cabaran untuk esok dan hari seterusnya.

Peranan kerajaan terhadap isu gelandangan

Isu bantuan kerajaan dan gelandangan atau mereka yang dalam kesusahan sentiasa diambil peduli. Sudah acapkali pihak kerajaan membuat pembersihan, menempatkan mereka di rumah kebajikan.  Namun setiap kali itu juga ada sahaja gelandangan baharu muncul.

Kalau dahulu gelandangan sinonim dengan isu penagih dadah dan malas bekerja, namun hari ini kisah hidup mereka ada pelbagai dan sukar dijangka.  Ada yang dibuang kerja sehingga tidak dapat menampung kehidupan walaupun dengan menyewa bilik kerana gaji baharu yang terlalu kecil.

Gelandangan adalah isu manusia, yang tidak pernah selesai. Mereka sering digambarkan sebagai seseorang, sekumpulan (sekeluarga) atau segolongan orang yang papa kedana, hidup merayau dari satu tempat ke satu tempat mengharapkan bantuan daripada pihak lain.  Mereka mengemis, meminta sedekah atau mencari sisa makanan di tong atau tempat buangan sampah.  Undang-undang sahaja tidak menjamin isu ini dapat diatasi kecuali perasaan memahami manusia yang tinggi.

Kehadiran mereka mengundang pelbagai masalah sosial, keselamatan serta menjejaskan imej sesebuah bandar raya terutama apabila kawasan itu menjadi tumpuan pelancong.  Mengikut kajian yang dilakukan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) faktor utama gelandangan adalah kerana tiada pekerjaan dan selebihnya mempunyai pendapatan rendah secukup hidup.

Membantu sesama insan – kerajaan dan gelandangan

Ketika kerajaan Malaysia melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gelandangan di Kuala Lumpur kira-kira 1,000 orang ditempatkan di tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).  Ia sebagai salah satu cara mengekang penularan wabak COVID-19.

Kerajaan Malaysia juga mewujudkan beberapa alternatif untuk terus membela nasib gelandangan dengan memberi jaminan dan kehidupan yang lebih selesa.  Kerajaan juga memutuskan menyedia peluang pekerjaan kepada gelandangan serta membimbing mereka sehingga mampu berdikari.

Islam menekankan keperluan membantu mereka yang dalam kesusahan. Seperti kerajaan dan gelandangan, saling membantu sesama insan.  Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.  Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Maidah, ayat 2)

Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan menolong orang yang dalam kesusahan, maksudnya:

“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat.  Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”

(Hadis riwayat Muslim)

Semoga kita juga tergolong mereka yang sentiasa membantu orang yang dalam kesusahan.