Meriahkan Syaaban dengan amalan puasa

Puasa 26 Mac 2021 Hannan
Hannan
Meriahkan Syaaban dengan amalan puasa
Meriahkan Syaaban dengan amalan puasa © Oleksii Yaremenko | Dreamstime.com

 

Pada 14 Mac 2021 yang lalu, kita telah menyambut ketibaan bulan baharu iaitu Syaaban – bulan terakhir sebelum kita menemui Ramadan. Bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh umat Islam saban tahun.

Di dalam bulan Syaaban, Rasulullah SAW dilihat banyak melakukan amalan puasa. Malah, Saidatina Aisyah r.a berkata:

“Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Syaaban (selain bulan Ramadan). Sesungguhnya, Baginda SAW telah berpuasa sebulan penuh.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Meriahkan Syaaban dengan amalan puasa

Sudah tentulah, amalan yang amat digalakkan di dalam bulan Syaaban merupakan amalan berpuasa. Malah, ibadah berpuasa di dalam bulan Syaaban adalah sunnah dan merupakan amalan orang-orang soleh.

Tambah lagi, menurut Anas bin Malik r.a, beliau melihat sahabat-sahabat Rasulullah SAW bersungguh-sungguh membaca Al-Quran pada bulan Syaaban. Ini sudah cukup untuk membuktikan betapa istimewanya bulan Syaaban pada mata Nabi dan sahabat-sahabatnya.

Selain berpuasa dan membaca Al-Quran, kita juga digalakkan untuk bersedekah di dalam bulan yang mulia ini. Moga sedekah tersebut setidak-tidaknya dapat meringankan beban mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan nanti.

Banyakkan berdoa pada malam Nisfu Syaaban

Telah berkata Imam al-Syafie r.a dalam kitab al-Umm jilid kedua:

“Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam Jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Syaaban.”

Pada malam ini, semua umat Islam digalakkan agar memperbanyakkan zikir, istighfar, berdoa, bersedekah dan melakukan solat sunat.

Walau bagaimanapun, elakkan daripada melakukan amalan yang spesifik. Menurut para ulama, tidak ada sebarang amalan yang khusus untuk malam Nisfu Syaaban melainkan amalan-amalan yang disebutkan tadi.

Malah, semua amalan kita juga diserahkan kepada Allah SWT pada bulan Syaaban. Usman bin Zaid menceritakan:

“Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa Tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban.

Lalu Baginda menjawab: Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan. Ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu, aku (Baginda) amat suka kiranya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai)

Selain itu, kita juga dituntut agar mengukuhkan tali sillaturahim antara manusia. Sempena bulan Syaaban ini, leraikanlah sebarang persengketaan yang berlaku sesama kita. Maafkanlah satu sama lain supaya kemanisan Ramadan lebih terasa.

Ini jugalah masanya untuk mendisiplinkan diri dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT. Walaupun sedikit, cuba tambah amalan pada bulan ini sebagai ‘warming up’ supaya kita lebih mudah untuk melakukannya pada bulan Ramadan kelak.

Ganti puasa pada bulan Syaaban sebelum terlambat

Kepada mereka yang masih belum berkesempatan untuk mengganti puasa, jangan lupa untuk melunaskannya sebelum Ramadan tiba.

Sambil mengganti puasa, kita juga boleh menggandingkannya dengan puasa sunat untuk menggandakan pahala. Malah, amalan ini juga bertepatan dengan pendapat beberapa orang ulama seperti Imam Ramli dan Imam Ibnu Hajar al-Haitami.

Bagi mereka yang kerap melakukan ibadah berpuasa, anda boleh cuba amalan Puasa Daud, iaitu berpuasa selang sehari dengan syarat ia tidak akan menganggu stamina pada bulan Ramadan nanti.

Bulan Syaaban merupakan bulan yang membawa 1001 keberkatan untuk kita sebagai umat Islam. Oleh sebab itu, janganlah sia-siakan peluang ini gunakannya sebaik mungkin.

Moga amalan kita pada bulan ini diterima oleh Allah SWT, Insya Allah!