Meriam Buluh – mainan tradisi malam raya

Suka Chan Abdullah 25-Mei-2020
Sumbu dinyalakan © Fiqah Anugerah Jasni - Dreamstime.com

Permainan tradisi yang diturunkan dari generasi-generasi sebelum ini semakin dilupakan. Permainan yang menjadi identiti negara semakin dipinggirkan oleh masyarakat terutamanya generasi muda. Ini berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat yang membuka ruang peningkatan permainan moden di alam maya. Perkembangan pesat teknologi ini menjadikan mereka lebih menjiwai permainan digital berasaskan telefon pintar dan komputer.

Sempena Syawal tahun ini, dikongsikan satu permainan tradisi yang sangat popular sempena hari raya. Meriam Buluh. Bagi anda yang tidak pernah dengar tentang meriam buluh, ianya adalah sejenis permainan tradisi yang dimainkan pada malam hari sebelum hari raya. Ianya diperbuat daripada buluh serta campuran kalsium karbida dan air. Tindak balas kimia yang terhasil daripada campuran kalsium karbida dan air di dalam buluh menghasilkan asetilena, gas yang mudah meletup. Gas asetilena akan meletup apabila didedahkan kepada api.

Bagaimanapun, ianya telah diharamkan di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958. Ini adalah kerana buluh yang tumbuh semula jadi tidak mempunyai kekuatan sama rata. Tiada jaminan bahawa buluh dapat digunakan untuk menahan letupan yang dihasilkan, maka ia boleh pecah meletup dan menjadikannya tidak dijangka. Letupan ini berbahaya kerana buluh akan pecah dan menjadi seperti serpihan lidi dan selumbar. Ini tidak termasuk bahan bakar yang mungkin turut meletus dan boleh menyebabkan kecacatan kekal pada wajah atau anggota badan akibat letupan.

Meriam Talang adalah sejenis meriam buluh yang terkenal di Malaysia. Meriam Talang ini dimainkan di Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak dan hanya dimainkan ketika musim raya sahaja. Meriam Talang diperbuat daripada batang besi paip bagi menggantikan buluh. Cara-cara bermain meriam ini sungguh unik kerana mereka menggunakan gugusan meriam yang banyak dalam susunan yang teratur ketika bermain. Setiap pasukan meriam mempunyai ketuanya sendiri yang mengawal setiap pengendali meriam-meriam itu.

Satu lagi kawasan yang terkenal dengan permainan meriam buluh ialah Kampung Selabak yang terletak di Teluk Intan, Perak. Tradisi bermain meriam buluh di sana telah mula diperkenalkan sejak tahun 1950-an lagi. Penduduk Kampung Selabak menggunakan batang paip yang ditinggalkan dan kemudiannya diubahsuai menjadi ‘meriam buluh’. Di sini, mereka juga turut berhati-hati mengendalikan permainan meriam buluh ini. Tembakan meriam hanya akan dilepaskan setelah mendapat arahan daripada ketua pasukan masing-masing.

Begitulah serba sedikit mengenai permainan meriam buluh, permainan tradisi di malam raya.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!