Mesir, negara penting dalam sejarah agama Islam

Dunia Hagnas 17-Sep-2020
dreamstime_s_16846233
Unta dan piramid Giza di Kaherah, Mesir © Mikael Damkier | Dreamstime.com

Islam merupakan agama kebangsaan di Mesir. Tradisi Islam di Mesir mempunyai sejarah yang lama dan tersendiri. Islam memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat Mesir moden. Mesir sentiasa dan akan terus menjadi sebuah negara yang memainkan peranan penting terhadap nilai-nilai Islam dan undang-undang Islam.

Islam tiba di Mesir bersama dengan kehadiran panglima dan sahabat Nabi S.A.W. iaitu Amr bin al-As. Pasukan tenteranya telah memasuki Mesir pada tahun 639 Masehi (M). Selama 20 tahun peperangan dan usaha-usaha damai telah berlaku antara Mesir dan kerajaan Bizantin, yang diketuai seorang pemimpin Kristian di Iskandariah yang juga merupakan ketua bagi penduduk asal Mesir iaitu masyarakat Qibti.

Natijahnya pada tahun 658 M, penentangan Bizantin dan masyarakat Qibti telah berjaya dihalang dan penduduk Mesir telah secara umumnya memeluk Islam dan menjadi sebahagian daripada Khilafah Islam pada ketika itu dan orang-orang Arab mula menetap di Mesir. 300 tahun selepas itu Mesir telah berpisah daripada Khilafah.

Pada mulanya, Kerajaan Fatimiyyah (dinasti Syiah yang merupakan sebahagian daripada keturunan Saidina Ali r.a yang telah melarikan diri daripada Khilafah Islam) telah memerintah negara ini, kemudian disambung oleh Kerajaan Ayyubiah (keturunan Salahuddin Al-Ayubi) sebelum digantikan oleh Kerajaan Mamluk.

Kerajaan Mamluk selepas itu telah ditakluk oleh Empayar Uthmaniah yang mana Mesir menjadi sebahagian daripadanya hingga tahun 1805. Kemudian Mesir telah dirampas buat pertama kalinya oleh pemimpin bebas iaitu Muhammad Ali. Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, Mesir telah dijajah oleh Britain selama 40 tahun sehinggalah Mesir mencapai kemerdekaan pada tahun 1922.

Sepanjang sejarah, Mesir telah dipengaruhi oleh beberapa mazhab dan gerakan mahupun kerajaan Islam. Ini termasuk Kerajaan Syiah Fatimiyyah yang telah mengasaskan kerajaan mereka di sini pada abad ke-11 dan kemudian digantikan oleh Kerajaan Sunni Ayyubiah yang bermazhab Syafi’i.

Ia kemudian digantikan oleh Kerajaan Mamluk pada abad ke-13 hingga ke-15, yang telah membangunkan amalan Islam yang mudah di perkampungan serta dalam kalangan penduduk bandar yang kurang berada.

Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan kesarjanaan, kehadiran institusi pendidikan seperti Universiti Al-Azhar (Universiti Islam tertua selepas Universiti Kairouan di Tunisia dan merupakan universiti Islam yang paling berpengaruh di dunia), kehadiran ramai ulama hadis (pakar dalam ilmu hadis dan sunnah), ulama fiqah (pakar dalam perundangan Islam), ahli falsafah dan ahli sains, telah melahirkan kelompok pemikiran Islam yang berbeza-beza dalam masyarakat Mesir. Perbezaan ini masih dapat dirasai hingga sekarang.

Sejak zaman pemerintahan Kerajaan Mamluk, para ulama telah mengambil peranan yang sangat penting di Mesir. Mereka mempunyai hak untuk mengawal kehidupan masyarakat umum dalam melantik pegawai-pegawai agama, pemimpin-pemimpin agama dan imam-imam masjid.

Majlis Ulama memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan beragama di negara ini, terutamanya Majlis Ulama Universiti al-Azhar. Imam Besar Masjid Al-Azhar (sekarang disandang oleh Sheikh Ahmad al-Tayeb) mempunyai pengaruh yang besar dalam urusan kenegaraan dan urusan agama di negara ini.

Pada tahun 2013 majlis Ulama Al-Azhar telah memilih Mufti Besar Mesir buat pertama kalinya iaitu Sheikh Shawki Allam. Sebelum itu Mufti Besar Mesir telah dilantik oleh presiden negara ini.

Islam sentiasa menjadi agama kebangsaan. Ini telah termaktub dalam perlembagaan kerajaan Mesir pada tahun 1923 dan diulang kembali semasa pengisytiharan Republik Mesir dalam perlembagaan 1952, yang masih terus termaktub sehingga hari ini dengan beberapa pindaan. Pindaan paling utama dibuat pada tahun 1980, yang telah secara rasmi mengangkat Undang-Undang Shariah sebagai suatu sistem perundangan yang sah di negara ini.

Perlembagaan negara ini menjamin kebebasan beragama di Mesir. Negara ini juga mempunyai institusi keagamaan bagi beberapa agama lain (Kristian dan Yahudi) juga institusi bagi beberapa ajaran-ajaran lain yang merupakan pecahan dari agama Islam seperti Syiah dan Ahmadiyah. Undang-undang Syariah terpakai untuk masyarakat Islam. Masyarakat Kristian dan Yahudi pula tertakluk kepada undang-undang dalam agama masing-masing.