Mesyuarat sidang video Pra-Kabinet Yang Di-Pertuan Agong dari Istana Negara

Kehidupan Hafiz Firdaus 15-Apr-2020
Istana Negara Malaysia © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Di-Pertuan Agong Malaysia hari ini mengadakan sesi Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sidang video di Istana Negara. Sidang video yang bermula 8.30 pagi itu berlangsung selama 45 minit.

Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri berbincang mengenai hal ehwal semasa secara serius, selain bertanya khabar semasa perbincangan yang turut berkisar tentang perkembangan kesihatan berkaitan COVID-19.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara mengatakan, sesi itu diadakan dalam talian. Kebiasaannya, Yang di-Pertuan Agong akan berada di Istana Melawati, Putrajaya untuk mesyuarat pra-Kabinet.

Sultan Abdullah juga berkenan agar pertemuan pra-Kabinet terus dilanjutkan melalui persidangan video bagi mematuhi perlaksanaan PKP. Ini membuktikan Seri Paduka Baginda amat mengambil berat akan pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas keprihatinannya supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja selama enam bulan, bermula Mac hingga Ogos 2020.