Mewah Segalanya di 30 Bencoolen, Singapura

Adakah anda merancang untuk ke Singapura sewaktu cuti panjang Merdeka atau Hari Malaysia nanti? Jika ya, kami sarankan anda menginap di Hotel 30 Bencoolen, di Bencoolen Street, Singapura. Lokasi dan keluasan biliknya menjadikan hotel ini pilihan terbaik untuk percutian bersama keluarga mahupun sahabat-handai.

30 Bencoolen adalah hotel bertaraf 4 empat bintang dan sebahagian daripada rangkaian hotel Bayview International Hotels & Resorts. Ya, Kumpulan Bayview sama yang memilik hotel-hotel Bayview di Pulau Pinang, Melaka, Pulau Langkawi  dan beberapa lokasi lain di Australia dan New Zealand. Jadi anda tidak perlu risau tentang kualiti layanan mahupun keselesaan yang ditawarkan di sini.

Apa yang menjadikan 30 Bencoolen lebih istimewa daripada hotel-hotel lain di Singapura? Mari kami kongsi dengan anda beberapa jenis ‘kemewahan’ yang dapat anda nikmati jika menginap di sini.

Mewah Ruang dan Kemudahan

Tidak seperti hotel-hotel lain di Jalan Bencoolen mahupun kawasan pelancongan lain di Singapura, bilik-bilik di 30 Bencoolen mempunyai saiz yang luas. Kesemua biliknya bersaiz sekitar 23 m² (248 kaki persegi) manakala bilik Junior Suite dan Family Room adalah lebih kurang dua kali ganda besarnya. Junior Suite mampu memuatkan maksimum tiga orang (dengan katil sofa) manakala Family Room boleh memuatkan empat orang. Junior Suite dan Family Room juga dilengkapi dengan dua kamar mandi. Tak perlulah berebut dengan rakan-rakan atau ahli keluarga.

Jika hotel lain tidak menawarkan ruang untuk meja bekerja, 30 Bencoolen menyediakan DUA meja bekerja di setiap biliknya, kecuali untuk bilik yang berbalkoni. Ya, 30 Bencoolen mempunyai bilik berbalkoni yang siap dihiasi tumbuhan menghijau, persis resort dalam taman. Sesuailah hotel ini untuk mereka yang mahu bekerja, ataupun yang mahu bercuti menenangkan minda.

Selepas seharian berjalan keliling kota, bolehlah anda berendam di kolam renang ‘rooftop’ di hotel ini, atau di jakuzi. 30 Bencoolen adalah satu-satunya hotel di Bencoolen Street yang mempunyai kolam renang rooftop.

Satu ciri yang menarik perhatian kami tentang 30 Bencoolen adalah ia memiliki bilik laundry sendiri. Kalau anda merancang untuk menginap lama, atau melancong bersama anak kecil dan sering perlu mencuci baju, guna saja washer dan dryer yang disediakan. Ada bayaran kecil dikenakan, tetapi ia jauh lebih murah daripada perkhidmatan dobi standar di hotel-hotel lain.

Mewah Pilihan Makanan

Walaupun restoran di dalam hotel ini tidak mendapat pengiktirafan halal, namun hotel 30 Bencoolen di kelilingi tempat makan halal. Pasti anda tidak akan kelaparan. Tidak sampai 5 minit berjalan, ada foodcourt yang menyediakan nasi ayam halal enak, kalau mahu makanan segera ada Subway Sandwich dan McDonald’s. Kedai serbaneka 7-11 juga ada betul-betul di sebelah hotel.

Mahu ke Arab Street untuk menjamu selera di kafe-kafe hip atau murtabak lazat di sana sambil singgah sebentar solat di Masjid Sultan? Tak perlu bersusah-payah. Tinggal pilih saja transportasi dan dalam masa 10 minit anda pasti sudah sampai di sana.

Mewah Lokasi dan Pengangkutan

30 Bencoolen terletak di Bencoolen Street dan sangatlah dekat dengan beberapa tempat tarikan pelancong seperti Singapore Art Museum dan National Museum of Singapore. Sewaktu kami menetap di sini, kami ke acara-acara di Esplanade Theatres on the Bay, ArtScience Museum dan Asian Civilisation Museum dengan sangat mudah.

MRT Jalur Downtown ada betul-betul di pintu masuk hotel, Jalur Circle 2 minit jalan kaki dari pintu masuk, serta pintu masuk hotel di apit dua hentian bas dengan bas-bas yang boleh membawa anda ke tempat-tempat berbelanja dan tempat pelancongan dengan mudah. Kalau mahu jalan kaki ke stesyen Dhoby Ghaut (Plaza Singapura), hanya sekitar 5 minit.

Satu lagi yang kami suka tentang hotel ini adalah lokasinya yang betul-betul berdepan dengan Masjid Bencoolen. Mudah untuk solat berjemaah. Dan seperti yang dinyatakan di atas, kalau mahu ke Masjid Sultan juga dekat dari sini.

Bagaimana? Cukup teruja untuk bermalam di 30 Bencoolen? Jangan lupa untuk membuat tempahan secara langsung melalui laman web hotel ini untuk mendapat harga paling murah di internet, dan juga sambungan WiFi laju sewaktu penginapan anda di sini.

 

Untuk maklumat lebih lanjut, layarilah https://www.30bencoolen.com.sg/

 

Gambar: Ili Farhana, 30 Bencoolen & 123RF