Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Mi Bodoh Tengkera?

Makanan 17 Jan 2021
Hanita Hassan
Mi Bodoh Tengkera
Mi Bodoh Tengkera? © chowhound.com

Makanan adalah elemen yang boleh mengeratkan hubungan dengan suami dan anak-anak atau dengan mertua.  Tanyalah siapa sahaja, tentu mereka bersetuju dengan pendapat ini.

Pesan orang tua, jika mahu memikat suami juga dengan masakan.  Kenyangkan perutnya dahulu dengan masakan air tangan sendiri.  Namun sekali sekali pada cuti hujung minggu, isteri boleh tutup dapur. Sebagai menghargai isteri, suami digalakkan membawanya dan anak-anak keluar makan.

Mi Bodoh Tengkera?

Di Melaka terdapat banyak warung, kedai dan restoran yang menyediakan makanan halal.  Mencari yang halal itu penting kerana ia akan menjadi darah daging. Bagi penggemar mi, singgahlah ke gerai Mi Bodoh Hassan yang popular sejak beberapa generasi.

Gerai yang dibuka seawal jam 7.30 pagi hingga 10.45 pagi (Jumaat – Ahad) ini menyediakan hidangan utama mi goreng sebagai menu minum pagi.  Ia adalah hidangan yang ringkas tetapi enak.

Mewarisi perniagaan daripada ibunya, Nyaros Abdullah sejak 1978,  Hassan Hamid, 61, yang  dibantu isteri, Jemaah Isnin, 57, serta anak tunggal lelaki daripada tujuh beradik, Muhammad Firdaus, 32, tidak menang tangan melayan lebih 500 pelanggan sehari.

Pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada penduduk Melaka tetapi juga dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Singapura dan Indonesia. Para pelanggan sanggup berkunjung ke Melaka semata-mata mahu menikmati mi goreng yang terkenal ini.  Mi Goreng Hassan juga popular dengan gelaran mi bodoh atau mi lambung.

Mi bodoh merujuk pada penyediaan mi yang mudah dan ringkas: ‘Ala…masak mi bodo aje.’  Bodo bermaksud ringkas.  Isi mi berencahkan taugeh sahaja. Istimewanya kerana ia dimasak berasaskan minyak dari sambal tumis sama ada untuk mi goreng atau untuk menggoreng telur.

Setiap hari warung ini dipenuhi pelanggan dengan penggunaan mi lebih kurang 40 kilogram. Terletak di tepi jalan arah ke Pantai Klebang dekat dengan Kampung Lapan.  Sebaik sahaja tiba di kawasan warung, anda akan menyaksikan pemandangan deretan kereta memakir di sepanjang bahu jalan.

Buat sendiri mi bodoh di rumah

Sebaik sahaja tiba di warung, pelanggan akan beratur untuk mengambil telur goreng, sambal dan timun. Setelah itu, mi goreng akan dihantar ke meja masing-masing mengikut giliran.  Harga mi ialah RM1.60 sahaja.  Bagi menambah keenakan mi, anda boleh menambah kicap dan cuka yang disediakan di atas meja.

Warung ini dibuka sehingga jam 10 malam dari hari Isnin hingga Rabu dan tutup setiap Khamis.  Ia agak kecil dan sempit.  Makan di sini mungkin memberi pengalaman baharu kepada anda yang tidak pernah mengalaminya.

Sambil itu, anda juga boleh menikmati suasana pekan Tengkera iaitu pekan lama yang dahulunya adalah pekan utama di Melaka.  Kebanyakan bangunan di sini masih mengekalkan bentuk asalnya (ada yang telah dibaik pulih).  Banyak penginapan berpatutan yang tersedia berhampiran kawasan ini.

Bagi suri rumah yang sangat mementingkan kualiti makanan, anda boleh membuat sendiri mi bodoh di rumah sekiranya mengidam untuk memakannya.  Hari ini banyak perusahaan mi yang diusahakan oleh orang Islam.

Usah bimbang untuk mendapatkan bahan yang halal.  Bagi menambah rasa mi selain taugeh, anda boleh menambah bawang dan ikan bilis kisar dan sedikit cili.  Masukkan taugeh setelah mi sebati dengan rencah supaya tidak terlalu layu dan angkat. Sedia untuk dihidangkan.

Jika suka, sediakan sambal kosong dan telur goreng untuk dimakan bersama mi. Potong juga timun supaya terasa seperti berada di warung Mi Bodoh Hassan. Selamat mencuba.