Minyak Zaitun dan khasiatnya

Makanan Hanita Hassan 29-Jul-2020
Minyak Zaiton dan khasiatnya © Julenochek | Dreamstime.com

Kajian sains yang dilakukan oleh para penyelidik tempatan mahupun antarabangsa lebih 50 tahun lalu mendapati minyak Zaitun adalah antara minyak yang sihat untuk kesihatan. Berasal daripada buah zaitun (Olea Europaea), ia digunakan dalam pemakanan dan juga kegunaan luar untuk disapu pada kulit.

Minyak Zaitun adalah bahan utama dalam makanan Mediterranean yang terbukti secara sainstifik sangat menyihatkan.  Ia mengandungi lemak mono tak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tak tepu (PUFA) termasuk Omega 3 dan 6. Minyak zaitun mengandungi bahan antioksidan iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin serta  vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.

Kajian yang dijalankan oleh Profesor Maria Covas di Sepanyol dan diterbitkan dalam jurnal perubatan Pharmacological Research 2007 mendapati, pengambilan minyak Zaitun secara kerap berisiko lebih rendah mendapat penyakit kardiovaskular.  Ia juga berupaya mengurangkan keradangan dan disfungsi endothelium saluran darah koronari serta penyumbatan saluran darah (thrombosis).

Kajian lain yang dijalankan di National Institute of Health and Medical Research (INSERM) di Bordeaux, Perancis dan diterbitkan dalam jurnal perubatan Neurologi tahun 2011. Pengambilan minyak Zaitun setiap hari berisiko 41% lebih rendah untuk  mendapat strok sekali gus mencegah angin ahmar.

Sepasukan ahli sains dari Universitat Autonoma de Barcelona di Sepanyol yang  melakukan penyelidikan pada tahun 2010 mendapati minyak Zaitun dapat mengurangkan aktiviti onkogen p21Ras, mencegah kerosakan DNA sel dan menggalakkan kematian sel kanser payudara secara spontan.

Sesungguhnya Allah SWT telah bersumpah dengan buah Zaitun dan buah Tin.  Ia tercatat  dalam surah at-Tin, ayat satu sekali gus sebagai gambaran betapa hebatnya khasiat yang terkandung dalam buah zaitun untuk kesihatan manusia.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl, ayat 11 yang bermaksud: “Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; Zaitun, Kurma, Anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.”

Nabi Muhammad SAW telah menganjurkan kita supaya mengamalkan pengambilan minyak Zaitun sejak 1,400 tahun lalu.  Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi & Ibnu Majah)

Banyak lagi kajian sains lain yang dilakukan di seluruh dunia.  Hasilnya membuktikan bahawa penggunaan minyak Zaitun juga dapat membantu mengurangkan kemurungan dan menguatkan ingatan.  Minyak zaitun juga dapat membantu bengkak pancreas akut (acute pancreatitis) dan penyakit hati yang disebabkan oleh stress oksidatif serta penyakit bengkak usus atau ulcerative colitis.

Pengambilan minyak Zaitun secara kerap hendaklah diamalkan setelah anda mengetahui khasiatnya.  Kongsi ilmu yang berguna ini demi membantu lebih ramai mengembalikan kesihatan badan.  Dalam masa yang sama, kita niatkan ia sebagai makanan sunnah sebagaimana amalan Rasulullah SAW.