Mira Filzah Paling Popular

Pelakon dan pengacara Mira Filzah menepati ramalan apabila beliau telah dinobatkan sebagai Artis Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32 (ABPBH32) malam semalam.

Selain merangkul anugerah utama, Mira juga berjaya membawa pulang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular serta Gandingan Serasi Drama bersama aktor Remy Ishak.

Mira sewaktu ditemui ketika sidang media berkata, beliau percaya kemenangannya pada malam semalam adalah impak dari produk yang dihasilkan sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

“Kebetulan sewaktu undian untuk ABPBH32 dibuka, drama serta filem lakonan saya sedang ditayangkan. Mungkin itu satu kebetulan yang Allah tetapkan”, ujarnya.

Bercakap mengenai kemenangannya bagi kategori pelakon filem, kata Mira dia menyedari bahawa dirinya belum cukup layak untuk membawa pulang trofi untuk kategori itu kerana baru sahaja menceburkan diri dalam layar lebar.

“Sejujurnya memang saya rasa tidak layak. Namun semuanya berdasarkan undian. Saya harap dengan kemenangan ini akan membuka lebih ruang kepada saya untuk berlakon filem”, jelasnya.

Selain membawa pulang trofi, Mira juga berjaya membawa pulang sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0 Hybrid yang bernilai RM160,000.

Tahniah dari SalamToday kepada Mira Filzah. Mira telah buktikan bahawa kemenangannya adalah seiring dengan produk dan bakat yang ditonjolkan sepanjang tahun.

 

Berikut adalah senarai pemenang utama ABPBH 32:

Pelakon Filem Lelaki Popular – Fattah Amin

Pelakon TV Lelaki Popular – Syafiq Kyle

Penyanyi Wanita Popular – Siti Nordiana

Penyanyi Lelaki Popular – Khai Bahar

Pengacara TV Popular – Siti Nordiana

Pelakon Komedi Popular – Zizan Razak

Penyampai Radio Popular – DJ Lin

Artis Baru Wanita Popular – Haneesya Hani

Artis Baru Lelaki Popular – Adam Lee

Artis Duo/Berkumpulan Popular – Hael Husaini & Dayang Nurfaizah

 

Foto : Instagram Mira Filzah & TV3 Malaysia