Misha Omar Beraksi di Dewan Filharmonik Petronas

Meraikan ulang tahun ke-17 dalam industri muzik, Misha Omar bakal melakar sejarah manis dalam perjalanan karier seninya. Ogos hadapan, penyanyi kesayangan ramai ini akan mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) mengikuti jejak langkah Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Yuna, Najwa, Aizat dan Hafiz, serta kumpulan Hujan dan Akim & The Majistret.

Bertemakan This Is Misha – ‘Live’ At DFP, Misha yang belum pernah beraksi solo di pentas DFP akan membawa peminat-peminat menyelusuri perjalanan seni dari hit terawal Bunga Bunga Cinta hingga ke hit terkini, Sampai Bila. Persembahan Misha akan diiringi oleh band pengiring.

Digelar ‘diva pop era millenium’, kehebatan Misha dalam seni suara sukar disangkal. Antara album-album yang boleh dibanggakan ialah Aksara (2004), Misha Omar (2008) dan Dia…Misha (2011) yang mengandungi lagu-lagu hits seperti Semoga Abadi Halaman Cinta, Dedebu Cinta, Ku Seru, Pulangkan, Sembunyi, Cinta Adam Dan Hawa dan Nafas Cahaya.

Bagi yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan Misha di pentas DFP pada 5 Ogos 2019, jam 8.30 malam nanti, cepat rebut peluang mendapatkan tiket menerusi kaunter Box Office atau www.mpo.com.my.

Tiket-tiket dijual pada harga RM399 dan RM199, di mana anda juga berpeluang menyaksikan konsert klasikal oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO).

Anda juga boleh menghubungi talian 03-23317007 dan e-mel ke [email protected] untuk tempahan tiket.