Mohamad Alamin dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis

Kehidupan MAS 01-Jan-2020
© Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

BN mengumumkan pemilihan bekas ADUN Bongawan, Mohamad Alamin sebagai calon untuk PRK Kimanis. Pengumuman berkenaan dilakukan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin. Pemilihan Mohamad dimuktamadkan selepas kaji selidik yang dilaksanakan di peringkat akar umbi untuk memilih calon terbaik.

Mohamad memenangi kerusi DUN Bongawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 tetapi gagal mempertahankannya pada PRU lepas. Bongawan adalah salah satu daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah parlimen Kimanis. Mohamad juga merupakan penyandang Ketua UMNO bahagian Kimanis. Pelantikan sebagai ketua bahagian dibuat selepas Anifah Aman mengumumkan keluar dari parti.

Mohamad berketurunan Kadazan Dusun di sebelah bapa dan Melayu Brunei di sebelah ibu. Beliau juga merupakan seorang peguam yang beroperasi di Kota Kinabalu, kira-kira 60km dari Kimanis. Kimanis ialah kerusi separa bandar dengan majoriti 63.16% adalah Bumiputera Islam manakala 30.67% Bumiputera bukan Islam.

Satu lagi parti yang bakal bertanding, Parti Warisan Sabah sedang mempertimbangkan dua orang pemimpin sebagai calon untuk kerusi Kimanis. Pemimpin pertama ialah Ketua Warisan bahagian Kimanis, Karim Bujang. Beliau adalah individu bertanggungjawab memfailkan petisyen pilihan raya selepas beliau tewas kepada Anifah Aman pada PRU lepas.

Seorang lagi calon ialah Daud Yusuf, bekas ADUN Bongawan dan pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah. Beliau juga merupakan Ketua Penerangan Warisan bahagian Kimanis. Parti Warisan masih belum memutuskan pemilihan calon setakat ini.

Anifah Aman telah memenangi kerusi Kimanis pada PRU 2018 dengan majoriti tipis sebanyak 156 undi. Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Anifah pada 2 Disember lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 4 Januari, pengundian awal pada 14 Januari dan hari mengundi pada 18 Januari.