Monyet Belanda, berhidung besar dan hanya ada di Borneo

Alam Sekitar Md Wa'iz
Md Wa'iz
Monyet Belanda, berhidung besar dan hanya ada di Borneo
Monyet Belanda, berhidung besar dan hanya ada di Borneo © Bryane Ernest | Dreamstime.com

Pernahkah anda melihat spesis monyet yang mempunyai hidung yang besar? Monyet tersebut dikenali sebagai monyet Belanda.

Mengapa spesis monyet ini dinamakan sedemikian?

Monyet Belanda, monyet hidung besar

Monyet Belanda (Proboscis Monkey, nama sains: Nasalis larvatus) juga dikenali dengan beberapa nama unik lain. Ada yang menyebutnya sebagai monyet atau Kera Bekantan. Ada juga yang memanggilnya sebagai Bayau. Apa pun namanya, ia tetap merujuk kepada spesis monyet yang sama.

Monyet ini amat mudah untuk dikenali kerana keadaan hidungnya yang besar seperti sedang membengkak. Namun, hidung monyet ini sememangnya terbentuk secara semula jadi. Monyet jantan dikenali dengan hidung yang lebih besar daripada monyet betina (yang sebenarnya masih cukup besar bagi seekor monyet).

Mengapa ia digelar dengan nama monyet Belanda? Ini kerana orang tempatan menyamakan fizikal monyet ini dengan penjajah Belanda, iaitu memiliki perut serta hidung yang besar.

Monyet Belanda hanya terdapat di Borneo

Tahukah anda, monyet ini hanya terdapat di satu kawasan sahaja di dunia iaitu Pulau Borneo. Bagi anda yang masih tidak tahu, Pulau Borneo dimiliki oleh tiga buah negara iaitu Brunei, Malaysia (Sarawak dan Sabah) serta Indonesia (Kalimantan).

Spesis monyet ini sememangnya berasal dari Borneo dan tidak didapati di bahagian lain dunia. Ini bermakna, jika anda berkunjung ke Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, anda masih boleh menjumpai kelibat monyet ini.

Monyet ini lebih banyak mendiami kawasan pantai dan di sepanjang sungai. Monyet ini biasanya tinggal di kawasan dalam lingkungan satu kilometer persegi daripada punca air.

Selain berkebolehan memanjat seperti monyet-monyet lain, monyet Belanda juga sangat mahir berenang!

Kini ia semakin pupus

Monyet Belanda ini merupakan antara salah satu haiwan yang sudah semakin pupus. Berdasarkan statistik, jumlahnya sudah semakin berkurangan lebih 50% sejak 40 tahun yang lalu.

Antara punca yang menyebabkan kepupusannya ialah:

  • Aktiviti pembalakan yang menyebabkan habitatnya musnah
  • Diburu kerana dagingnya
  • Diburu untuk dijadikan ubat

Di Malaysia, ia masih boleh dijumpai di Negeri Sabah, namun jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding jumlah monyet di Kalimantan. Kini, haiwan ini dilindungi di bawah peruntukan undang-undang ketiga-tiga negara.

Datang ke Sabah untuk lihat dengan lebih dekat

Sekiranya anda ingin melihat gelagat monyet ini dengan lebih dekat, anda boleh berkunjung ke Lok Kawi Wildlife Park di Negeri Sabah.

Anda juga boleh berkunjung ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary di Sandakan, Sabah untuk melihatnya. Pusat santuari di Sandakan ini merupakan pusat pemuliharaan khusus bagi spesis monyet ini.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.