‘Motif’ Pertemukan Sufian Suhaimi dan Amira Othman Dalam ‘Takkan Merubah’

Selepas cemerlang dengan single solo masing-masing sehingga menjadi hits dan siulan para peminat, Sufian Suhaimi dan Amira Othman kini muncul bergabung dalam lagu duet terbaharu, ‘Takkan Merubah.’

Mempertaruhkan lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea, apa yang lebih menarik adalah lagu tersebut menjadi runut bunyi filem Motif yang bakal menjengah di seluruh pawagam tanah air pada 26 September ini.

Meski ia merupakan kerjasama pertama membabitkan Sufian dan Amira, namun, kedua-duanya mampu melunaskan tanggungjawab dengan baik dan menjadikan lagu ‘Takkan Merubah’ amat sedap untuk didengari.

Pun begitu, Sufian, 27, mengakui wujudnya cabaran ketika merakamkan lagu tersebut disebabkan range vokal yang berbeza dengan Amira sehingga ia mengambil masa yang panjang.

“Seperti yang saya bayangkan, bekerjasama dengan Amira sangat menyeronokkan dan mudah. Setiap masalah dibincangkan dengan baik dan masing-masing memberikan idea yang positif bagi menghasilkan melodi dan gabungan suara yang menarik.

“Namun, perbezaan range suara saya dan Amira adalah cabaran utama bagi mendapatkan keselesaan dalam nyanyian.

“Proses rakaman juga mengambil masa lebih lama dari yang saya bayangkan. Kami mengambil masa lebih kurang lapam jam bagi menyiapkan proses rakaman,” ujar Sufian ketika ditemui pada majlis pelancaran runut bunyi Takkan Merubah di Red Box Plus Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, Sufian yakin dengan sentuhan emas daripada Farouk Roman dan Amylea, ia mampu menjadikan lagu tema filem ‘Motif’ itu diterima ramai, sekali gus memberi ‘nyawa’ kepada filem tersebut.

“Saya berharap lagu ini dapat menjadi lagu tema yang baik dan serasi untuk filem ‘Motif’.

“Ini kerana peranan lagu runut bunyi dalam sesebuah filem adalah sangat penting bagi mengiringi perjalanan sesebuah filem,” katanya.

Video muzik ‘Takkan Merubah’ kini boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music dan Aries Music.

Filem Motif arahan Nadiah Hamzah dibarisi oleh pelakon-pelakon popular dan hebat tanah air seperti Datuk Rosyam Nor, Sharifah Amani, Azhan Rani, Sherie Merlis dan ramai lagi.

Berkisarkan tentang kes kehilangan seorang remaja selepas pergi ke sebuah hotel lama di Tanah Merah, filem thriller itu membuat tayangan perdana di Festival Filem Udine Far East (FEFF) ke-21 yang berlangsung di Udine, Itali pada 26 April hingga 4 Mei lalu.

Foto: YouTube Aries Music