Motivasi berguna secara dalam talian

Kehidupan Hanita Hassan 11-Jun-2020
Bina motivasi diri positif © Airdone | Dreamstime.com

Motivasi secara atas talian mula melingkari dunia maya sejak pandemik COVID-19 menyerang dunia. Kita yang dipaksa dan terpaksa duduk rumah mencari alternatif   baharu mengisi waktu senggang melalui internet dan media sosial, dihadirkan dengan kelas-kelas motivasi asas percuma di alam maya.

Mereka berkongsi pengalaman dalam bidang kekeluargaan, usahawan, pelaburan, kewangan, perkembangan awal kanak-kanak, remaja serta banyak lagi.  Kelihatan semua berlumba-lumba menampilkan kepakaran masing-masing.  Apa pun agenda yang tersirat asal sahaja ia baik untuk meningkatkan motivasi masyarakat, itu sudah memadai.

Begitu juga dengan kelas-kelas bimbingan yang dianjurkan oleh guru-guru sekolah.  Antara subjek yang diajar seperti bahasa Inggeris, sejarah dan matematik serta mata pelajaran sains bagi membantu meningkatkan kemahiran pelajar.

Pakar sukan juga menampilkan teknik asas melakukan senaman di rumah untuk mengurangkan tekanan. Ia adalah terapi yang mampu meningkatkan hormon endorfin sekali gus  menenangkan fikiran.  Teknik istirahat otot diajar dengan menegangkan otot selama 10 hingga 15 saat secara kuat.  Kemudian merehatkan otot selama 15 hingga 20 saat.

Topik menangani tekanan paling banyak ditampilkan.  Ia selari dengan situasi pandemik COVID-19 yang membuatkan ramai dilanda ketidakstabilan emosi. Kita berasa takut dan resah sepanjang masa, bimbang dijangkiti virus. Terkurung terlalu lama di rumah, rutin harian yang berubah serta kurangnya perhubungan sosial atau fizikal turut mengganggu emosi.

Tinjauan lebih 1,000 rakyat Malaysia menunjukkan hampir separuh daripada mereka mengalami tekanan, kegelisahan dan kemurungan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Ia berlaku kepada golongan wanita, remaja dan mereka yang tinggal di rumah kos rendah.

Mereka yang tinggal bersendirian dan dalam unit yang mempunyai lebih ramai penghuni juga mengalami tahap emosi negatif lebih tinggi menurut tinjauan kumpulan pemikir tempatan, The Centre.

Kajian ini dilakukan antara 5 hingga 10 April oleh Aziff Azuddin dan Dr. Idlan Zakaria dengan rundingan bersama pakar psikiatri dan psikologi bagi mengukur tahap kemerosotan kesihatan mental akibat PKP.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.  Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Islam menekankan keperluan membantu sesama insan dalam semua keadaan.  Kita bersyukur kerana keprihatin pakar-pakar motivasi atas talian yang meluangkan masa melayan dan berkongsi ilmu secara percuma sekali gus menjadi ‘a shoulder to cry on’ atau bahu untuk warga maya meluahkan segala kebimbangan dalam kepanikan akibat dan kesan daripada pandemik COVID-19.

Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat atas kebaikan dan keikhlasan mereka membantu rakyat yang dapat belajar sesuatu yang baru mengenai perkara yang penting dalam kehidupan sehari-hari.