Motivasi diri kita untuk menunaikan solat Tahajud

Sahsiah Nur Adibah Ramly 09-Sep-2020
dreamstime_s_176558978
Solat Tahajud © Muhammad Annurmal | Dreamstime.com

Kita mungkin sedar akan keistimewaan  solat Tahajud (solat malam), tetapi seringkali sukar memotivasi diri untuk bangun dan menunaikannya. Kita harus menginsafi diri dengan memperbetulkan rutin tidur supaya berpeluang bangun malam menunaikan solat tahajud sebagai tanggungjawab.

Di Akhirat nanti, setiap orang dipertanggungjawab atas perbuatan mereka – solat Tahajud memberi kita peluang memperbanyak amalan baik. Tahajud juga adalah kesempatan untuk kita berdoa kepada Allah SWT tentang harapan mahupun masalah yang sedang kita alami.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’, ayat 79)

Kita hendaklah memperbetul rutin tidur dengan sebaiknya agar dapat bangkit pada tengah malam dan menunaikan Tahajud dan ia bergantung sepenuhnya kepada kita. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)

Kita tidak sepatutnya mengabaikan keberkatan menunaikan solat Tahajud hanya kerana tidak mempeduli tentang amalan tidur. Kita harus sedar betapa kita begitu bersungguh-sungguh untuk bangun dan bekerja atau menghadirkan diri  memenuhi janji-janji penting, maka kita hendaklah bertanya kepada diri sendiri kenapa kita tidak mampu bangun malam untuk menunaikan solat tahajud.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Ada dua nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sekiranya kita sentiasa mengingatkan diri untuk membuat persiapan menghadapi hari Akhirat, ia juga akan memotivasi kita untuk bangun menunaikan solat Tahajud. Kehidupan di dunia ini hanya sementara, manakala kehidupan di Akhirat adalah  kekal abadi.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Demi Allah, tidaklah dunia dibandingkan akhirat kecuali seperti seorang daripada kalian mencelupkan jarinya ke laut, maka lihatlah apa yang tersisa di jarinya jika ia keluarkan dari laut?” (HR Muslim, 2868)

Oleh itu, kita boleh memotivasi diri untuk bangun menunaikan solat Tahajud dengan mengingatkan diri tentang hari Akhirat. Kita juga hendaklah menyedari bahawa kehidupan di dunia ini sering melalaikan kita daripada terus memikirkan tentang hari Akhirat.

Maka berhati-hatilah dengan perkara ini kerana ia pasti dapat membantu kita   berusaha lebih bersungguh-sungguh bagi menunaikan solat Tahajud. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Surah Al An’aam, ayat 32)

Seterusnya, ketika berusaha untuk memotivasi diri menunaikan solat Tahajud, kita juga hendaklah memikirkan tujuan dan masalah yang kita hadapi. Apakah sebenarnya yang kita lakukan dalam mencapai tujuan dan harapan yang kita inginkan dalam kehidupan ini? Apakah pula yang kita lakukan bagi mengatasi masalah yang dialami?

Sudah tentu, dengan hanya berbekalkan usaha sahaja tidak mencukupi. Kita  memerlukan pertolongan Allah SWT, kerana hanya kepada Dia-lah pada akhirnya  yang bertanggungjawab ke atas segala sesuatu. Hanya Dia sahaja yang berkuasa memutuskan sama ada kita berhak mencapai sesuatu perkara ataupun tidak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia mengkehendaki sesuatu hanyalah berkata kepada-Nya: ‘Jadilah!’ maka terjadilah ia. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya lah kamu dikembalikan.” (Surah Yaasin, ayat 82-83)