Muaz bin Jabal r.a – sahabat berilmu, inspirasi dakwah

Sejarah Hanita Hassan 03-Okt-2020
640px-Shrine_of_Muadh_ibn_Jabal,_Jordan_16
Makam Muaz bin Jabal r.a di Shuna, Irbid, Jordan © By BY-SA 4.0, Link

Muaz bin Jabal al-Ansari r.a adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang awal memeluk Islam iaitu pada usianya 18 tahun. Muaz atau Muadh adalah anak muda kalangan Ansar yang turut serta dalam baiah ketika Perjanjian Aqabah.

Beliau adalah seorang yang bersemangat serta bersungguh-sungguh menyebarkan Islam dalam kalangan ahli Madinah sehingga Madinah menjadi negara Islam pertama di bawah pimpinan Rasulullah SAW.

Muaz r.a lahir 20 tahun sebelum hijrah. Kacak, matanya hitam dan bercahaya. Giginya berkilau, berambut kerinting, tingkah laku yang baik serta bijak menyesuai diri. Beliau meninggal dunia di Syam (sekarang sebahagian daripada Jordan) pada tahun 18 Hijrah ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a. Ketika itu, usianya belum mencecah 33 tahun.

Menghancurkan berhala, berdakwah ke Yaman

Sebaik sahaja mendengar seruan daripada pendakwah dari Mekah iaitu Musha’ab bin Umair r.a, Muaz bin Jabal r.a terus memeluk Islam. Ketika di Madinah, beliau bersama beberapa rakan sebayanya menghancurkan berhala-berhala secara sembunyi dan ada juga secara terang-terangan.

Tindakannya itu memberi kesan kepada seorang pembesar Yatrib iaitu Amru Ibnu Jamuh iaitu bangsawan dari Bani Salamah sehingga beliau memeluk Islam. Kesungguhan Muaz r.a dalam menyebarkan Islam, untuk membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya telah membawanya mengadakan siri dialog dengan orang Yahudi di Madinah.

Muaz r.a  menceritakan kenabian dan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  Namun orang Yahudi tetap enggan beriman dengan apa yang dibawa oleh Baginda. Sanggup berkorban harta dan tenaga demi menyebar luas dakwah Islam.

Beliau mengetuai beberapa pendakwah ke Mekah dan Yaman  dan mengajar tentang ilmu Islam kepada penduduk di situ.  Kesan daripada sumbangannya, sehingga kini majoriti penduduk Yaman adalah beragama Islam.

Beberapa halaqah  pengajian dibuka oleh Muaz r.a ketika di Yaman dan Sham.  Sebuah pusat ilmu yang dinamakan Maahad Muaz bin Jabal Radiyallahu anhu al ilmi di Al Jund, Yaman wujud sehingga ke hari ini.

Mufti di zaman Rasulullah SAW, menjadi rujukan ketika al-Quran dibukukan

Muaz r.a turut sama menyertai beberapa siri peperangan dalam menyebarkan dakwah.  Peperangan adalah pilihan terakhir apabila musuh enggan mengikuti apa yang ditetapkan oleh Islam.  Beliau terlibat bersama-sama Rasulullah SAW dalam peperangan Badar, Uhud, Khandak dan pembukaan kota Mekah serta Perang Tabuk.

Seorang yang pendiam tetapi memiliki kecerdasan yang tajam. Daya hafalannya kuat, berani dan sering diminta buah fikirnya atau sebagai sumber rujukan. Apabila  berkata-kata, terpancar cahaya dan mutiara daripada suaranya.  Beliau dilantik sebagai Mufti ketika Rasulullah SAW masih hidup.

Muaz r.a mempelajari al-Quran dan syariat Islam daripada Rasulullah SAW.  Dia adalah murid yang paling baik kerana mendapat didikan langsung daripada guru yang paling baik.  Beliau kemudian menjadi salah seorang sahabat yang sangat  mahir dalam qiraat al-Quran dan syariat Islam.

Rasulullah SAW memuji Muaz r.a kerana ilmu yang dimilikinya. Baginda pernah bersabda: “Umatku yang paling banyak mengetahui perkara halal dan yang haram ialah Muaz bin Jabal r.a.” Khalifah Umar al-Khattab r.a turut menjadikan beliau sumber rujukan dan meminta buah fikirannya.

Beliau antara sahabat yang menjadi rujukan ketika mana al-Quran hendak dibukukan. Kemahiran dan kepandaian Muaz r.a dalam bidang al-Quran diakui dan dibenarkan oleh Rasulullah SAW.  Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Bacalah dan pelajarilah al-Quran daripada empat orang ini, Ibnu Masud, Salim Maula Abi Khuzaifah, Ubai dan Muaz bin Jabal.”

Sesungguhnya sahabat Rasulullah SAW yang bernama Muaz bin Jabal r.a ini sangat besar perjuangannya dalam menyebar dan  menegakkan agama Allah SWT sehingga Baginda menggelar beliau ‘Orang yang akan memimpin para ulama ke Syurga’. Semoga menjadi inspirasi kepada kita untuk terus berdakwah.