Mufti mohon rakyat terus simpati Rohingya

Kehidupan Syed Safri 27-Apr-2020
Sekumpulan saudara Rohingya berdoa © Rezaphotograph | Dreamstime.com

Di tengah-tengah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  di seluruh negara akibat wabak COVID-19 yang berterusan, baru-baru ini telah viral banyak komen-komen yang tidak begitu baik, yang dilemparkan sesama rakyat Malaysia mengenai lebih daripada 170,000 pencari suaka Rohingya yang berlindung di negara ini.

Meningkatnya rasa tidak puas hati di kalangan sebilangan masyarakat muslim di Malaysia terhadap pelarian Rohingya yang tinggal di sini, telah menyebabkan ramai mufti seluruh negara bersuara dan meminta orang ramai untuk menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mengatakan bahawa masyarakat harus berasa peka dan memahami perasaan golongan Rohingya yang juga saudara seagama kita. Untuk memahami mereka, Wan Salim mendorong umat Islam Malaysia untuk meletakkan diri mereka di tempat mereka, yang telah dianiaya secara tidak adil dan dihalau secara paksa dari tanah air mereka.

Harapan beliau adalah semoga kerajaan Malaysia akan terus mengambil tindakan kemanusiaan yang sewajarnya dalam membantu pelarian Rohingya di Malaysia. Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman meminta umat Islam Malaysia untuk terus bersama-sama membantu masyarakat Rohingya.

Memetik hadis Nabi Muhammad SAW, Dr. Abdul Rahman menasihati agar masyarakat bersatu menentang kekejaman yang telah menimpa sesama umat Islam dan menolong pelarian Rohingya dengan apa cara yang mereka boleh. Seperti sabda Nabi, kita mesti menolong mereka yang telah dianiaya dan mencegah kekejaman.

Dr. Abdul Rahman juga percaya bahawa gembar-gembur viral maya yang berkisar tentang kebencian terhadap pelarian Rohingya dibuat oleh mereka yang ingin melihat rakyat Malaysia saling  berselisih faham dan bertikaian antara satu sama lain.

Beliau memohon agar rakyat Malaysia memanfaatkan bulan suci Ramadan untuk menghentikan pertikaian dan rasa tidak puas hati yang tidak masuk akal ini, dan tidak menganiaya seluruh masyarakat Rohingya berdasarkan stereotaip dan tindakan hanya segelintir daripada mereka.