Muhajirin dan Ansar: Satu pengenalan

Sejarah Hanita Hassan
Terkini
Muhajirin dan Ansar: Satu pengenalan
Muhajirin dan Ansar: Satu pengenalan © Wirestock | Dreamstime.com

Daripada Abu Musa r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Aku telah bermimpi bahawa sesungguhnya aku berhijrah dari kota Makkah menuju ke suatu tempat yang ada pohon kurma padanya. Lalu aku mengira tempat itu adalah al-Yamamah atau Hajr. Akan tetapi, ia sebenarnya adalah Yathrib (Nama lama bagi kota Madinah).”

(Riwayat al-Bukhari, 3622)

Muhajirin dan Ansar

Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq a.s telah meninggalkan kota Mekah pada hari Isnin, 20 September 622 Masehi menuju ke kota Madinah. Menempuh pelbagai cabaran dan ujian untuk menegakkan Islam, sehingga akhirnya Madinah menjadi sebuah tamadun yang memayungi dunia sehingga ke hari ini.

Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin yang tidak mempunyai harta dan tempat tinggal dengan golongan Ansar untuk menjadi umat yang mulia dan kuat. Golongan Muhajirin dianggap sebagai golongan yang terawal memeluk agama Islam di Mekah dan paling banyak berjasa dalam menegakkan ajaran tauhid.

Kaum Muhajirin telah memainkan peranan penting di Mekah.  Muhajirin telah membantu Rasulullah SAW mempertahankan Islam walaupun menerima tentangan maha hebat daripada kaum musyrikin Mekah.

Golongan Muhajirin adalah kelompok pertama menerima Islam dan yang melafazkan kesetiaan terhadap Islam. Mereka sanggup menerima tentangan sama ada dalam bentuk fizikal dan mental, diejek, dihina dengan kata nista, tidak kurang yang diseksa serta dibunuh.

Abu Bakar al-Siddiq a.s, Zubair bin Awwam a.s, Uthman bin Affan a.s, Ali bin Abi Talib a.s dan lain-lain adalah pendukung Islam semasa dakwah secara sulit di Mekah. Mereka sanggup menghadapi segala rintangan dan penentangan daripada kaum kafir Quraisy bagi memastikan Islam terus tertegak dan berkembang.

Ansar menerima Islam dalam Perjanjian Aqabah

Golongan Ansar turut berperanan penting dalam menegakkan Islam dan membantu Nabi Muhammad SAW.  Ketika di Mekah, mereka menerima dan menyokong ajaran yang dibawa Baginda, yang merintis penghijrahan ke Madinah.

Kaum Ansar menyatakan kesanggupan menerima Islam dalam Perjanjian Aqabah satu dan dua, dalam keadaan golongan musyrikin Mekah melancarkan penentangan yang keras.

Golongan Ansar berikrar berjuang bersama  Nabi Muhammad SAW dan bertanggungjawab membawa dan menyebarkan Islam di Madinah. Mereka membantu Baginda dalam urusan keagamaan dakwah dan pentadbiran.

Ketika itu, dakwah dilakukan secara terbuka di Madinah. Hasilnya, umat Islam berjaya membina Masjid di tengah-tengah Kota Madinah dan dapat melakukan ibadat secara terbuka.

Golongan Ansar di Madinah juga telah menyumbang harta benda dan buah fikiran kepada golongan Muhajirin sekali gus menjayakan perjuangan dan perkembangan Islam termasuk menyertai perjuangan jihad.

Kaum Ansar ialah penduduk Madinah yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj yang telah memeluk Islam. Rasulullah SAW telah dibantu menegakkan Islam di Madinah sebelum dan selepas berhijrah ke Madinah. Mereka banyak berkorban harta, tenaga dan jiwa.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan apa sahaja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah, ayat 215)