Muhammad al-Fateh: Penakluk Kota Konstantinopel

Eropah 13 Mac 2021 Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Muhammad al-Fateh: Penakluk Kota Konstantinopel
Muhammad al-Fateh: Penakluk Kota Konstantinopel (foto: Jambatan Fatih Sultan Mehmet, Istanbul) © Meunierd | Dreamstime.com

Muhammad bin Murad bin Muhammad bin Bayazid atau lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh atau Mehmed II.  Beliau adalah pemimpin Khilafah Uthmaniyyah yang berjaya menakluk kota Konstantinopel selepas dua tahun memimpin kerajaan itu.

Dilahirkan pada 29 Mac 1432 bersamaan 26 Rejab 833 Hijrah di Adrianapolis, iaitu sebuah bandar bersempadan Turki-Bulgaria. Cicit kepada Sultan Beyazid I (1432 – 1481) ini terkenal sebagai pemimpin yang mempunyai visi dan wawasan yang jelas.

Raja berilmu dan bersifat kepimpinan yang tinggi

Muhammad Al-Fateh adalah seorang raja yang bersifat tawaduk, rendah diri, mencintai para ulama.  Beliau juga berani dan tegas serta kuat menyimpan rahsia pemerintahan, tenang dan pendiam.  Sejak kecil, beliau telah menghafal al-Quran.

Beliau juga menelaah hadis, belajar ilmu fekah, matematik, astronomi dan ketenteraan.  Beliau menguasai tujuh bahasa iaitu bahasa Arab, Parsi, Latin, Greek, Serbia, Turki dan Hebrew.

Dalam bidang agama, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali yang dikatakan berketurunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.  Beliau belajar ilmu dan taktik perang, memanah dan menunggang kuda.

Pada usianya 12 tahun, Muhammad Al-Fateh dilantik ayahandanya memangku jawatan khalifah (1444 – 1446).  Sifat kepimpinan yang ada dalam diri telah berjaya menangani tipu helah musuh.

Dilantik menduduki tahta Kerajaan Uthmaniyyah kali kedua pada tahun 1451 ketika berusia 19 tahun selepas kemangkatan Sultan Murad II. Pentadbiran Muhammad al-Fateh adalah bercirikan negara Islam.

Al-Quran ditanam dalam diri Muhammad Al-Fateh oleh bapanya Sultan Murad II sebagai asas dalam hidup, usuluddin sebagai akar, syariah sebagai batang dan akhlak sebagai daun dan buahnya.

Muhammad al-Fateh: Penakluk Kota Konstantinopel

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah pimpinannya adalah sebaik-baik pasukan.”

(Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335).

Muhammad al-Fateh adalah sebaik-baik raja, dan beliaulah orangnya. Sebaik sahaja menaiki tahta, beliau menyusun semula aspek pentadbiran dan strategi ketenteraan, mengkaji pelan Kota Konstantinopel dan kegagalan kempen terdahulu.

Peralatan perang yang lebih moden dibina termasuk meriam gangsa jenis shahi seberat 300 kilogram.  Meriam ini boleh menembak sejauh 1.5 kilometer yang telah meruntuhkan tembok kota Konstantinopel.

Sebanyak 140 buah kapal perang dan 320 buah bot dengan 150,000 tentera termasuk 12,000 tentera Janissari terlibat. Basilica dipindahkan dari Adrianapolis ke Konstantinopel dengan kekuatan 60 ekor kerbau dan kawalan ketat keselamatan 200 komando Uthmaniyyah dan 250 tentera selama enam minggu.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad Al-Fateh membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tentera terutama semasa menghampiri dinding kubu kota tersebut.

Strategi peperangan beliau amat luar biasa.  Kota Konstantinopel ditakluki oleh beliau pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857 Hijrah.  Ketika itu beliau baharu berusia 21 tahun.

Muhammad Al-Fateh meninggal dunia pada 4 Rabiulawal 886 Hijrah atau 3 Mei 1481 Masehi pada usianya 49 tahun di Askodra, dalam sebuah khemah di kelilingi anggota tenteranya. Ketika hampir dengan kematian itu, beliau sedang merancang satu misi besar tetapi masih dirahsiakan dan tidak diketahui tujuan atau masa pelaksanaannya.

Beliau meninggal disebabkan sakit gout. Tidak kurang juga ahli sejarah yang berpendapat beliau mangkat diracun.  Sebanyak 25 kempen peperangan telah diketuainya selama 30 tahun memerintah kerajaan Uthmaniyyah.